Bazuki Muhammad – Interview di Kosmo

4 08 2008

Bazuki Muhammad bukanlah nama asing bagi pencinta dunia fotografi di Malaysia ini. Nama besar beliau disanjung tinggi kerana hasilkerjanya yang amat tinggi nilainya. Jika tidak mana mungkin agensi berita antarabangsa Reuters mengambilnya sebagai jurufoto mereka sejak tahun 1998. “Saya mahu gambar saya menjadi ikon dan ia melekat di ingatan.” katanya sewaktu diinterview oleh akhbar Kosmo. Untuk anda yang meminati fotografi, artikel ini wajib anda baca untuk berkongsi bersama pengalaman beliau meneroka dunia serba indah ini. Saya sertakan di sini artikel tersebut untuk tatapan kita bersama…

Bazuki Muhammad - Jurugambar yang dikagumi

Bazuki Muhammad - Jurugambar yang dikagumi

SEPATUTNYA takdir awal merencanakan lelaki ini bakal menjadi seorang arkitek. Namun segalanya berubah disebabkan seorang teman sekampus bernama Aresh Javadi.

Petikan kamera warga Iran itu yang kerap menghasilkan seni fotografi yang luar biasa menyebabkan Bazuki Muhammad tidak mampu menahan dirinya daripada memegang sebuah kamera. Dan impaknya sangat besar.

“Saya tiada hobi lain selain mengambil gambar,” akuinya tertawa.

Sudah 25 tahun Bazuki bergelumang dengan hobi fotografinya. Beliau kini bertugas sebagai jurufoto di Malaysia untuk agensi berita antarabangsa, Reuters, sejak tahun 1998.

Boleh dikatakan semua jurufoto media di negara ini mengenali beliau. Ada juga yang menganggapnya ‘dewa foto’ kerana anak Melayu ini berada dalam kelas tersendiri.

Bagaimana lulusan arkitektur dari The Bayou State of Louisiana, Amerika Syarikat ini boleh terjerumus ke dalam seni fotografi?

“Ia mungkin darah seni yang ada pada keluarga saya,” tenang beliau menjawab.

Namun orang yang membuatkan Bazuki, kini 43, ingin menjadi jurufoto ialah pelajar kejuruteraan, Aresh Javadi.

Memiliki kamera sendiri sejak usia 17 tahun, Bazuki bagaimanapun berasa pelik kerana petikan kameranya tidak seajaib sentuhan jari Aresh. Sehinggalah Bazuki membelek kerja-kerja lelaki itu yang disiarkan dalam beberapa buah majalah.

“Suatu ketika, saya belajar di dalam kelas yang turut dihadiri Aresh. Saya memerhati kerjanya. Ya, dia membuatkan saya mahu menjadi jurufoto.

“Tapi sampai sekarang dia tak tahu saya menyukai karya-karya fotonya,” kenang Bazuki sambil ketawa besar.

Menurut Bazuki, isterinya, Zuriah Mad Ali, 40, juga mengakui kehidupan mereka sekarang lebih gembira berbanding semasa Bazuki bergelar arkitek 10 tahun lalu.

Namun, mengapa beliau meninggalkan satu kerjaya yang dihormati dan stabil itu?

“Sebab saya tak tahan mendengar bunyi klik kamera saya,” ujarnya bersahaja.

Sambung beliau: “Ya, selepas enam tahun menjadi arkitek, saya membuat keputusan yang radikal. Saya kehilangan bunyi klik kamera apabila saya mengadap papan lukisan, tapi saya tidak kehilangan papan lukisan apabila saya mendengar bunyi klik kamera.”

Sambil menikmati cendol dengan pemandangan Tasik Putrajaya yang indah, anak kelahiran Kelantan ini berkata, seni fotografi yang dicetus olehnya adalah menggunakan ‘garapan akal’ dan ‘ketajaman mata’. “Pandanglah dengan mata hati,” kata Bazuki. “Ia datang secara semula jadi.

“Saya pernah membuat liputan Hari Wesak di sebuah tokong yang mempunyai banyak lampu tergantung. Saya memerhatikan bagaimana panas terik yang menghasilkan bayang lampu-lampu tersebut. Itulah gambarnya,” cerita beliau.

Bazuki menambah: “Di laman web saya, ada yang mengatakan saya telah berjaya mencari kelainan daripada jurugambar-jurugambar lain.

“Tapi sebenarnya saya tidak mencari kelainan. Saya hanya menghasilkan karya dengan kemampuan saya, tidak sesekali ingin mengalahkan orang lain.”

Khabarnya tokong itu telah dikunjungi ramai hanya kerana gambar yang dipamerkan di laman web Bazuki sangat cantik dan mengesankan.

Di sebalik kerjayanya yang adakalanya membuatkannya terkejar-kejar ini, Bazuki mengakui beliau sangat puas.

“Saya bangun awal pagi dan tak pernah rasa penat atau malas untuk bekerja dan berfikir.

“Untuk menghasilkan sekeping gambar, saya mesti ada bayangan untuknya. Apa yang saya lakukan ialah melukisnya di atas sehelai kertas dengan melakar sebuah kotak dan isikan dengan objek.

“Kadang-kadang angan-angan itu tinggi sangat. Tapi saya cuba untuk dapatkannya. Adakalanya gambar itu terhasil di depan mata saya,” akui bapa kepada seorang anak perempuan, Intan Nur Aisyah, 12, ini.

Bekerja sebagai wartawan foto juga membolehkan beliau mengenali pelbagai watak manusia setiap hari dan itu kata Bazuki, adalah definisinya terhadap kepuasan.

Beliau juga mahu menolak tanggapan bahawa gambar yang cantik akan terhasil dengan kamera yang canggih.

“Saya menggunakan kamera Mark II sahaja. Ramai jurufoto lain yang memakai kamera yang lebih canggih. Hobi saya juga bukan mengumpul kamera.

“Yang penting adalah hasilnya. Laman web http://www.bazuki.com itulah hasil nya, bukannya kamera jenis apa yang telah menghasilkannya.”

Sememangnya Bazuki dikenali ramai. Malah bukan sedikit rakan-rakan yang menjadikan karya beliau sebagai rujukan.

Namun Bazuki ketawa saja bila diberitahu beliau telah terkenal sekarang.

“Bila dikatakan saya dikenali ramai, saya rasa gugup. Ada juga beberapa situasi yang membuatkan saya sedar saya dikenali, bila ada orang curi-curi ambil gambar saya dari jauh, dan ada yang datang bergambar bersama saya dan meminta tandatangan saya.

“Sebenarnya ia memberi cabaran kepada saya untuk terus menghasilkan sentuhan yang lebih memukau,” katanya.

Menurut lelaki ini lagi, beliau tidak menjadikan tuah nama Bazuki di sebalik pencapaiannya, namun akur itulah anugerah Tuhan untuk dirinya.

Kata-kata akhir Bazuki tentu saja menggambarkan dirinya yang sebenar. “Saya mahu gambar saya menjadi ikon, saya mahu ia melekat di ingatan.”

Hasilkerja beliau boleh dilihat di http://www.bazuki.com/


Tindakan

Information

3 responses

2 09 2010
Saharizam

Terima kasih atas perkongsian ini. saya bukanlah hardcore dalam fotografi tetapi adalah sebuah SLR yg murah. Saya memang mengkagumi karya fotografi yang indah, ia seni yang merungkaikan 1001 misteri.

2 09 2010
4 01 2011
2010 in review « Segalanya Tentang Dunia Fotografiku

[…] Bazuki Muhammad – Interview di Kosmo August 2008 2 comments 5 […]

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: