Slideshow Konsert Search – Memoria Anna

24 10 2008

Rakaman gambar-gambar yang terdapat di dalam slideshow berikut adalah sebahagian hasilkerja saya semasa merakamkan aksi kumpulan rock Search dikala berlangsungnya Konsert Rentaq Serantau yang berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 2007. Pengalaman merakam aksi hebat mereka amat menakjubkan dengan cabaran yang sungguh hebat tapi mengujakan. Terima kasih kepada Edrie Hashim selaku Penerbit album Gotik Malam Edan dan pemain gitar utama semasa konsert tersebut, kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan tugasan itu. Memang ia pengalaman terindah…





Jurugambar dasar laut

24 10 2008

Sumber: Harian Metro

MENIKMATI keindahan dasar lautan yang dipenuhi panorama menakjubkan dan pelbagai ragam penghuninya pasti mempesona dan memukau mata memandang, namun ia bukan pengalaman yang mudah dikecapi.

Tidak semua orang berpeluang mengecapi pengalaman begitu melainkan sekadar melihat menerusi gambar yang diambil penyelam skuba atau menonton filem dokumentari yang disiarkan di televisyen.

Jika sekadar melihat gambar dan tontonan televisyen saja sudah cukup mempesonakan, sukar membayangkan jika dapat menjenguknya dengan mata sendiri.

Malah ia pasti menjadi pengalaman lebih manis dan bermakna jika diri sendiri berpeluang merakam hidupan lautan, termasuk keunikan terumbu batu karang yang menghiasi setiap pelusuk dataran dasar lautan.

Pun begitu, keindahan dasar laut itu bukan sesuatu yang mudah dirakam.

Bagi penyelam skuba yang mahu berbuat demikian, ia bukan saja membabitkan kemahiran individu, bahkan memerlukan kesabaran ketika hendak mengambil gambar.

Itu cabaran yang perlu ditempuhi 35 penyelam skuba dan pencinta laut yang menyertai pusingan akhir pertandingan fotografi, Terengganu Go Green: Seashutterbug 2008, bagi merakam lebih 100 keping gambar khazanah dan pemandangan laut yang mengagumkan.

Program anjuran Coral Malaysia (CM) dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Terengganu (MTPNT) itu diadakan di pusat peranginan Arwana, Pulau Perhentian, baru-baru ini.

Ia menarik minat jurugambar tempatan dan Singapura bagi merebut hadiah bernilai lebih RM50,000 yang ditawarkan.

Dengan fokus utama kepada rakaman gambar dasar laut, penyelam skuba berkenaan nyata menikmati pengalaman berharga apabila berpeluang menyerlahkan kekayaan khazanah laut di Terengganu yang sememangnya terkenal memiliki pulau menarik di rantau ini.

Seorang peserta, Danny Wang, berkata tarikan utama program itu bukan hadiah lumayan yang ditawarkan, tetapi yang lebih bermakna ialah pengalaman dan menyimpan koleksi rakaman gambar yang dirakam.

Selain itu, katanya, pertandingan ini membuka pintu kepada ramai jurugambar dasar laut untuk mengetengahkan bakat.

“Kami berterima kasih kepada MTPNT kerana membuka kategori peserta antarabangsa bagi peserta Singapura. Ia pendedahan menarik, selain memberi kami (jurugambar tempatan) peluang lebih besar untuk mencipta nama di tanah air sendiri.

“Pertandingan ini juga memberi peluang kepada kami untuk menyerlahkan bakat sebagai jurugambar dasar laut, walaupun pelaburan untuk peralatan jauh lebih mahal berbanding jurugambar darat,” katanya.

Pengurus Besar MTPNT, Ahmad Fathil Ghani, yang merasmikan program itu berkata, program selama lima bulan ini (pusingan awal bermula dari Mac hingga Julai) bukan saja untuk mempromosi keindahan kepulauan zamrud, bahkan ia cara terbaik untuk mewujudkan sebuah bank foto bagi Terengganu.

“Keindahan dasar laut tidak mudah dirakam, apa lagi jika ia membabitkan hidupan marin. Hanya mereka yang bersabar dapat menghasilkan gambar.

“Hanya gambar yang unik dan rakaman spesies hidupan marin yang pelbagai akan menarik perhatian pencinta alam,” katanya.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu turut dihadiri wakil Sekretariat Tahun Melawat Malaysia, Rosnina Yaacob dan wakil Pelancongan Malaysia Terengganu serta Sekretariat Tahun Melawat Terengganu.

Pertandingan ini dilangsungkan Mac lalu dan ia antara acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Terengganu 2008.

Ia juga disenaraikan sebagai satu daripada program CM untuk meraikan Tahun Terumbu Karang Antarabangsa 2008 (IYOR 2008) yang disambut di seluruh dunia, terutama di kalangan pencinta laut.

Dalam pertandingan yang dianjurkan, pusingan pertama adalah rakaman awal peserta ke atas mana-mana pulau peranginan Terengganu, antaranya Pulau Redang, Perhentian, Tenggol, Kapas dan Bidong.

Peserta Malaysia dan Singapura diasingkan bagi memenangi dua hadiah utama, iaitu juara akan menerima RM10,000, sekali gus juga membuatkan persaingan menjadi semakin sengit.

Pun begitu, senarai pemenang lewat dumumkan bagi pertanding berkenaan.

Ia diumumkan serentak dengan pameran khas Terengganu Go Green: Seashutterbug 2008 yang dijadual diadakan di Kuala Lumpur selewat-lewatnya November ini.

Antara lain, program ini turut mendapat kerjasama Jabatan Taman Laut Malaysia, majalah pelancongan-Virtual Malaysia, TCE Sports Sdn Bhd dan Myth Asia.

Mengenai CM, ia sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi perhatian khusus kepada program konservasi laut.

Didokong kuat oleh kumpulan media massa, CM sentiasa mencari kelainan untuk memastikan rakyat Malaysia ‘melihat’ kepada laut.

Setakat ini lima program CM tercatat dalam Malaysia Book of Record (MBOR) iaitu Lukisan Dasar Laut Terpanjang Malaysia pada 36.5 meter (Lang Tengah, 2004); NGO pertama Mewarna Jalur Gemilang di Dasar Laut (Kapas, 2006); NGO pertama Mengibar Jalur Gemilang di Dasar Laut (Perhentian, 2006); Lukisan Dasar Laut Terpanjang Malaysia/Dunia (Tioman, 2008) dan Galeri Dasar Laut Malaysia Pertama (Bidong, 2007).

Sila layari laman web: http://www.coralmalaysia.com. Sebarang pertanyaan sila email kepada: info_coralmalaysia@yahoo.com.





PERTANDINGAN Fotografi ‘Putrajaya The Vibrant City’

24 10 2008

PERTANDINGAN Fotografi ‘Putrajaya The Vibrant City’ bermula 15 September lalu dan ditutup 11 November ini menarik penyertaan pelajar, jurugambar amatur dan profesional dari seluruh negara.

Ia menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk wang tunai bernilai RM17,000.

Pertandingan bertemakan ‘Putrajaya The Vibrant City’ itu dianjurkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) dan Perbadanan Putrajaya. Akhbar New Straits Times (NST), Berita Harian dan Harian Metro dipilih sebagai media rasmi pertandingan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PjH, Azlan Abdul Karim, berkata pertandingan sempena Festival Kesenian Putrajaya 2008 itu bertujuan meningkat kesedaran orang ramai mengenai keindahan dan keunikan seni bina bangunan serta flora fauna yang terdapat di bandar pintar ini.

Beliau berkata, pertandingan kali ini juga akan memberi penekanan kepada kreativiti peserta memperlihatkan daya tarikan dan keunikan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan serba moden dan canggih.

“Pertandingan ini juga dapat menggalakkan orang ramai berfikir dan mengkonsepsikan produktiviti, kualiti serta inovasi dengan menterjemahkannya ke dalam bentuk fotografi yang paling kreatif,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Panel juri akan memilih ekspresi visual paling unik dan menarik mengenai Putrajaya. Hasil kerja pemenang akan dipamerkan di pusat beli belah Alamanda selepas majlis penyampaian hadiah.

Katanya, mereka yang berminat dan ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai pertandingan kali ini boleh melayari laman web http://www.putrajayaartsfest.com.my atau menghubungi talian 03-2274 5693 secepat mungkin.





Kilang Terbuka 2008 – Zureen’s Cookies

22 10 2008

Semasa bulan Ramadhan yang baru lalu, disebabkan takde wedding jobs dan tak banyak aktiviti fotografi, kami buat projek biskut raye pulak. Kilang kami yang mengeluarkan biskut Zureen’s Cookies telah berada di pasaran musim raya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Istimewanya kami hanya mengeluarkan 2 jenis homemade cookies sahaja, Almond London dan Tart Nenas Gulung, yang menggunakan resepi asli dengan bahan2 yang terbaik. Menggunakan resepi yang kami pelajari dari seorang Chef yang agak terkenal di KL, biskut keluaran kami memang digemari ramai dan mendapat pesanan yang amat memberangsangkan, hingga selalunya di minggu terakhir banyak pesanan yang terpaksa ditolak kerana kesuntukan masa.

Dan minggu lepas kami mengadakan Majlis Rumah/Kilang Terbuka untuk pekerja-pekerja kami beserta keluarga mereka. Kami juga memberikan sesi bergambar potret keluarga buat mereka secara percuma sebagai tanda penghargaan atas usaha mereka selama projek itu dijalankan. Untuk melihat slideshow sebahagian gambar2 semasa majlis sila klik di bawah…

Proses pengeluaran biskut Zureen's Cookies

Proses pengeluaran biskut Zureen Cookies

Majlis Kilang Terbuka anjuran Zureen's Cookies

Majlis Kilang Terbuka anjuran Zureen Cookies

Pekerja-pekerja di Zureen's Cookies

Pekerja-pekerja di Zureen Cookies





Promosi Pakej Perkahwinan 2009

20 10 2008
Pakej Serba Lengkap dengan Harga Menarik!

Pakej Serba Lengkap dengan Harga Menarik!

UNBELIEVABLE! HANYA RM1,700 UNTUK 3 MAJLIS, STORYBOARD ALBUM, 3 STICKY ALBUM, 300 IMEJ CETAK 4R, POTRET 16R & 8R DENGAN FRAME KAYU, UNLIMITED SHOTS, FREE OUTDOOR SESSION – TERKINI – TAMBAH LAGI 6 KEPING GAMBAR 8R – MEMANG UNBELIEVABLE! CEPAT TEMPAH TARIKH ANDA SEKARANG!

TERKINI! – TEMPAHAN UNTUK PAKEJ PERKAHWINAN 2009 TELAH DIBUKA SEKARANG. ISTIMEWA UNTUK BAKAL PENGANTIN YANG MEMBUAT TEMPAHAN SEBELUM 31HB DISEMBER 2008, KAMI AKAN MENGEKALKAN HARGA PROMOSI 2008 HANYA UNTUK ANDA. HUBUNGI KAMI SEGERA UNTUK KETERANGAN LANJUT DAN MEMBUAT TEMPAHAN

UNTUK MELIHAT HASILKERJA KAMI, MEMBUAT TEMPAHAN ATAU SEBARANG PERTANYAAN, SILA LAWATI http://zoomer.fotopages.com

Klik juga Promosi Pakej Fotografi Perkahwinan 2009





Kreativiti kanak-kanak di hujung lensa

17 10 2008
SHAFIE (kiri) dan Faridah melawat Pameran Seni Foto Kanak-kanak Wajah Jati Malaysia di Balai Seni Lukis Negara.

SHAFIE (kiri) dan Faridah melawat Pameran Seni Foto Kanak-kanak Wajah Jati Malaysia di Balai Seni Lukis Negara.

PELBAGAI kaedah telah digunakan bagi menyerlahkan kreativiti paparan wajah-wajah kehidupan menerusi foto yang diambil di mana secara tidak langsung ia juga mampu untuk menggambarkan sesuatu cerita di sebaliknya.

Apatah lagi, tema yang ditetapkan adalah merangkumi foto wajah-wajah rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik, keturunan, ragam, cerita dan latarbelakang masyarakat di negara ini.

Paling mengujakan apabila foto-foto itu diambil oleh kalangan kanak-kanak sekolah berusia 16 tahun ke bawah dan ia turut dipertandingkan menerusi Pertandingan Senifoto Kanak-Kanak Wajah Jati Malaysia @ Malaysian True Potraits.

Pertandingan anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) bersama Balai Seni Lukis Negara (BSLN) itu yang berakhir baru-baru ini, memberi dimensi baru dalam mencungkil bakat kanak-kanak dalam bidang fotografi.

Usaha KPKKW dan BSLN itu merupakan suatu pendekatan baru kerana sejak 1992, kementerian serta balai tersebut hanya menganjurkan Pertandingan Melukis Kanak-Kanak Hari Merdeka setiap kali tibanya Bulan Kemerdekaan.

Bagaimanapun, menurut Menteri KPKKW, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, perkembangan teknologi semasa sedikit sebanyak telah merubah pendekatan berkarya di kalangan kanak-kanak termasuklah dalam seni fotografi yang semakin berkembang pesat pada hari ini.

“Foto adalah suatu cara yang boleh digunakan untuk berkarya dalam bidang seni termasuklah menerusi gambar-gambar yang diambil oleh golongan kanak-kanak.

“Walaupun konsep pertandingan itu diubah daripada pertandingan lukisan ke pertandingan foto, tetapi ternyata ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Hadiah Wajah Jati Malaysia dan Rumah Terbuka Hari Raya di BSLN, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum itu beliau menerima sumbangan tajaan RM100,000 daripada syarikat ExxonMobil menerusi Pengarah Perniagaan Runcit syarikat petroleum itu, Faridah Ali sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPKKW, Dr. Muzahet Masruri.

Sambutan pertandingan itu dapat dilihat apabila ia disertai oleh lebih 400 pelajar daripada 60 buah sekolah seperti di negeri Terengganu, Perlis dan Sabah di mana ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori A berusia 10 hingga 12 tahun, Kategori B (13 – 14 tahun) dan Kategori C (15 – 16 tahun).

Difahamkan juga sepanjang pertandingan itu dijalankan, sebanyak 18,000 wajah-wajah telah diambil oleh kalangan peserta terbabit dengan dibantu oleh 13 pegawai BSLN selaku mentor serta 2 jurufoto dan seorang pelukis profesional tanah air.

Pada pertandingan itu, Abd. Hayat Moi muncul juara bagi kategori A, Nur Ain Nabillah Yusuff (juara Kategori B) dan Siti Nurul Aida Jusoh (juara Kategori C) di mana mereka masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM300, sijil penghargaan dan hamper.

Sementara, para pemenang tempat kedua menerima RM200, tempat ketiga (RM150) dan 20 saguhati pula mendapat RM50.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah BSLN, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa pula berkata, selain mengembangkan bakat dan kreativiti kanak-kanak menerusi fotografi, pertandingan itu juga mampu menjana pemikiran kalangan generasi muda.

“Saya amat yakin, para peserta bukan sekadar mengutip ilmu memahami tentang kamera dan cara penggunaannya. Sebaliknya, mereka turut didedahkan dengan proses kehidupan yang melibatkan banyak aspek sosial.

“Ia secara tidak langsung akan menuntut seseorang kanak-kanak itu berdiri di atas kaki sendiri di samping proses pembelajaran lain yang diperolehi menerusi pengamatan dan tindak balas persekitaran,” ujarnya.

Uniknya pertandingan itu apabila kita dapat melihat kreativiti kanak-kanak yang mengambil gambar-gambar daripada sudut pemahaman mereka yang tersendiri biarpun pengalaman mereka dalam kehidupan dan teknik-teknik mengambil gambar masih terlalu baru.

Malah, semua hasil gambar yang berjaya memenangi pertandingan itu akan dipamerkan di BSLN sehingga 9 November ini setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Menerusi pertandingan yang menggunakan kamera digital itu, para peserta mengambil gambar-gambar di destinasi seperti Jeti Kuala Perlis, Pekan Semporna, Kuala Sanglang, Padang Besar dan Kampung Air Bangau-Bangau di Sabah.

Pelbagai gambar yang diambil seperti gambar kanak-kanak dan orang tua daripada pelbagai etnik dan latar masyarakat yang menggambarkan tentang budaya serta gaya kehidupan mereka banyak diserlahkan menerusi pertandingan itu.

Objektif pertandingan itu juga diadakan bagi memupuk penghayatan dan rasa kecintaan kepada negara, menemukan seni teknologi kepada masyarakat pedalaman dan meningkatkan celik seni di kalangan kanak-kanak melalui aktiviti seni visual.

Sumber: Utusan Malaysia





Tips : GAMBAR POTRET

14 10 2008

Jika anda berhasrat untuk mengambil gambar potret secara close-up, elak dari menggunakan lensa wide-angle. Jika anda menggunakan lensa wide-angle, bukaan frame anda akan menjadi luas, dan ini menyebabkan
1. Subjek anda kelihatan kecil
2. Persekitaran/latar akan nampak lebih luas
3. Akan ada distortion pada wajah subjek anda (kelihatan mengembang atau menggelembung)

Untuk mengelakkan perkara itu dari terjadi, pastikan anda jarakkan diri anda dari subjek, kemudian gunakan optical zoom untuk zoom-in kepada subjek anda sehampirnya. Hasilnya :-

1. Wajah subjek anda akan kelihatan lebih normal/natural

2. Latar belakang akan menjadi lebih sempit dan menjadi kabur (blur). Ini akan menyebabkan subjek anda lebih stands-out, tanpa gangguan dari persekitaran.

(Nota: Elakkan dari menggunakan Digital Zoom, kerana ini akan menghasilkan kualiti gambar yang sangat rendah)

Untuk mendapat tonasi dan tone kulit yang lebih menarik, pastikan cahaya adalah mencukupi, dan gunakan flash pada kadar yang sangat rendah (fill-in flash), cukup sekadar menghilangkan bayang dan memberi sedikit cahaya pada mata anda (penyeri).