Kreativiti kanak-kanak di hujung lensa

17 10 2008
SHAFIE (kiri) dan Faridah melawat Pameran Seni Foto Kanak-kanak Wajah Jati Malaysia di Balai Seni Lukis Negara.

SHAFIE (kiri) dan Faridah melawat Pameran Seni Foto Kanak-kanak Wajah Jati Malaysia di Balai Seni Lukis Negara.

PELBAGAI kaedah telah digunakan bagi menyerlahkan kreativiti paparan wajah-wajah kehidupan menerusi foto yang diambil di mana secara tidak langsung ia juga mampu untuk menggambarkan sesuatu cerita di sebaliknya.

Apatah lagi, tema yang ditetapkan adalah merangkumi foto wajah-wajah rakyat Malaysia daripada pelbagai etnik, keturunan, ragam, cerita dan latarbelakang masyarakat di negara ini.

Paling mengujakan apabila foto-foto itu diambil oleh kalangan kanak-kanak sekolah berusia 16 tahun ke bawah dan ia turut dipertandingkan menerusi Pertandingan Senifoto Kanak-Kanak Wajah Jati Malaysia @ Malaysian True Potraits.

Pertandingan anjuran Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) bersama Balai Seni Lukis Negara (BSLN) itu yang berakhir baru-baru ini, memberi dimensi baru dalam mencungkil bakat kanak-kanak dalam bidang fotografi.

Usaha KPKKW dan BSLN itu merupakan suatu pendekatan baru kerana sejak 1992, kementerian serta balai tersebut hanya menganjurkan Pertandingan Melukis Kanak-Kanak Hari Merdeka setiap kali tibanya Bulan Kemerdekaan.

Bagaimanapun, menurut Menteri KPKKW, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, perkembangan teknologi semasa sedikit sebanyak telah merubah pendekatan berkarya di kalangan kanak-kanak termasuklah dalam seni fotografi yang semakin berkembang pesat pada hari ini.

“Foto adalah suatu cara yang boleh digunakan untuk berkarya dalam bidang seni termasuklah menerusi gambar-gambar yang diambil oleh golongan kanak-kanak.

“Walaupun konsep pertandingan itu diubah daripada pertandingan lukisan ke pertandingan foto, tetapi ternyata ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Hadiah Wajah Jati Malaysia dan Rumah Terbuka Hari Raya di BSLN, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum itu beliau menerima sumbangan tajaan RM100,000 daripada syarikat ExxonMobil menerusi Pengarah Perniagaan Runcit syarikat petroleum itu, Faridah Ali sambil disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPKKW, Dr. Muzahet Masruri.

Sambutan pertandingan itu dapat dilihat apabila ia disertai oleh lebih 400 pelajar daripada 60 buah sekolah seperti di negeri Terengganu, Perlis dan Sabah di mana ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori A berusia 10 hingga 12 tahun, Kategori B (13 – 14 tahun) dan Kategori C (15 – 16 tahun).

Difahamkan juga sepanjang pertandingan itu dijalankan, sebanyak 18,000 wajah-wajah telah diambil oleh kalangan peserta terbabit dengan dibantu oleh 13 pegawai BSLN selaku mentor serta 2 jurufoto dan seorang pelukis profesional tanah air.

Pada pertandingan itu, Abd. Hayat Moi muncul juara bagi kategori A, Nur Ain Nabillah Yusuff (juara Kategori B) dan Siti Nurul Aida Jusoh (juara Kategori C) di mana mereka masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai RM300, sijil penghargaan dan hamper.

Sementara, para pemenang tempat kedua menerima RM200, tempat ketiga (RM150) dan 20 saguhati pula mendapat RM50.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah BSLN, Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa pula berkata, selain mengembangkan bakat dan kreativiti kanak-kanak menerusi fotografi, pertandingan itu juga mampu menjana pemikiran kalangan generasi muda.

“Saya amat yakin, para peserta bukan sekadar mengutip ilmu memahami tentang kamera dan cara penggunaannya. Sebaliknya, mereka turut didedahkan dengan proses kehidupan yang melibatkan banyak aspek sosial.

“Ia secara tidak langsung akan menuntut seseorang kanak-kanak itu berdiri di atas kaki sendiri di samping proses pembelajaran lain yang diperolehi menerusi pengamatan dan tindak balas persekitaran,” ujarnya.

Uniknya pertandingan itu apabila kita dapat melihat kreativiti kanak-kanak yang mengambil gambar-gambar daripada sudut pemahaman mereka yang tersendiri biarpun pengalaman mereka dalam kehidupan dan teknik-teknik mengambil gambar masih terlalu baru.

Malah, semua hasil gambar yang berjaya memenangi pertandingan itu akan dipamerkan di BSLN sehingga 9 November ini setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Menerusi pertandingan yang menggunakan kamera digital itu, para peserta mengambil gambar-gambar di destinasi seperti Jeti Kuala Perlis, Pekan Semporna, Kuala Sanglang, Padang Besar dan Kampung Air Bangau-Bangau di Sabah.

Pelbagai gambar yang diambil seperti gambar kanak-kanak dan orang tua daripada pelbagai etnik dan latar masyarakat yang menggambarkan tentang budaya serta gaya kehidupan mereka banyak diserlahkan menerusi pertandingan itu.

Objektif pertandingan itu juga diadakan bagi memupuk penghayatan dan rasa kecintaan kepada negara, menemukan seni teknologi kepada masyarakat pedalaman dan meningkatkan celik seni di kalangan kanak-kanak melalui aktiviti seni visual.

Sumber: Utusan Malaysia


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: