MB Perak Rampas Kamera Jurugambar Utusan

14 11 2008

mb-perakSikap kasar MB Perak dibidas

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Beberapa persatuan wartawan hari ini membidas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang bersikap kasar terhadap seorang jurugambar Utusan Malaysia di Ipoh semalam.

Pengerusi Institut Akhbar Malaysia, Datuk Azman Ujang berkata, ini adalah pertama kali seorang menteri besar di negara ini bertindak sedemikian dan ia tidak menggambarkan kebebasan media.

“Seorang menteri besar tidak harus berbuat demikian kerana sebagai pemimpin, beliau harus bersikap terbuka dalam cara beliau berurusan dengan media,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohammad Nizar dilaporkan memaksa jurugambar Mohd. Najib Mohd. Nor, 28, menyerahkan kamera dan memadamkan gambar menteri besar itu diberi surat tuntutan maaf daripada seorang peguam.

Menteri Besar itu juga dilaporkan telah mengherdik Mohd. Najib dan memanggil jurugambar itu dengan panggilan “woi” bagi meminta diserahkan kad memori kameranya.

Azman berkata, sebagai seorang menteri besar, Mohammad Nizar sepatutnya memahami bahawa tugas dan peranan pihak media ialah membuat liputan tugasan rasminya bukan soal peribadinya.

Beliau berkata, sebagai seorang wakil rakyat dari Pas yang memegang jawatan di negeri di bawah Pakatan Rakyat, Mohammad Nizar harus belajar daripada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sentiasa berhemah dalam menjalinkan hubungan dengan media.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Norila Md. Daud turut melahirkan rasa terkejut bahawa seorang pemimpin besar boleh bertindak keterlaluan.

Katanya, beliau telah menasihatkan jurugambar berkenaan membuat laporan polis kerana Mohammad Nizar telah menghalang tugasnya.

“Tugas seorang jurugambar sama seperti tugas penjawat awam atau polis yang tidak patut ada sesiapa yang melarang menjalankan tugas mereka, kecuali di negara yang bukan demokrasi,” katanya.

Presiden Kelab Wartawan Kebangsaan, Mokhtar Hussain berkata, sebagai seorang ketua bagi sebuah kerajaan negeri, Mohammad Nizar sepatutnya menjalin hubungan baik dengan media kerana kedua-dua pihak mempunyai peranan masing-masing terhadap rakyat.

Di Ipoh, Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak, Samad Majid berkata, sikap yang ditunjukkan Mohammad Nizar itu tidak mencerminkan budaya yang baik bagi seorang pemimpin dan ia sangat memalukan.

“Jurufoto berkenaan mempunyai pas yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Perak bagi membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri dan sekadar menjalankan tugas yang diamanahkan kepada beliau,” katanya.

Samad berharap Mohammad Nizar akan memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya itu.

Mohd. Najib pula berkata, beliau berasa amat terhina dengan kejadian yang berlaku itu.

“Apa yang berlaku terhadap saya benar-benar memperlekehkan media. Saya berasa terhina kerana seolah-olah telah melakukan satu kesalahan,” katanya.

‘Saya hanya minta jurugambar padamkan gambar’

IPOH 13 Nov. – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini berkata, bahawa beliau hanya meminta jurugambar Utusan Malaysia memadamkan gambar yang dirakamnya dan bukannya merampas peralatan itu.

“Saya tengah makan, kemudian dia (wakil pejabat peguam) datang. Saya tanya anda siapa, dia tak jawab. Bagaimana nak serah notis (kalau) ada jurugambar.

Bila saya tahu mereka semacam ada pakatan, saya kata “bagi kamera awak,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tamat di sini hari ini.

Alasannya ialah beliau mahu memastikan gambarnya yang dirakam tanpa kebenaran, dipadamkan di situ juga.

Surat berkenaan menuntut Mohammad Nizar meminta maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya dalam tempoh tujuh hari bermula Rabu lepas kerana menuduh Tajol Rosli merancang konspirasi politik sehingga dua Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pada 26 Ogos lepas, BPR mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Perak, Osman Mohd Jailu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan, Jamaluddin Mohd Radzi berkaitan projek perumahan di Perak Tengah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Ngeh Koo Ham yang turut menerima surat tuntutan yang sama daripada Tajol Rosli berkata, beliau tidak akan memohon maaf kerana tidak melakukan sebarang kesalahan.

Katanya, beliau tidak pernah menuduh Tajol Rosli sebagai perancang konspirasi tetapi hanya bertanya sama ada bekas Menteri Besar Perak itu yang merancang konspirasi berkenaan.

Sumber: Utusan Malaysia


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: