Soraya Yusof Talismail : Gambar bagaikan lukisan

19 12 2008
ANTARA foto kreatif yang dirakam oleh Soraya.

ANTARA foto kreatif yang dirakam oleh Soraya.

Soraya dedah rahsia jadi jurugambar tersohor

“SEKIRANYA ingin bergelar jurugambar berjaya, kita perlu menjadi jurugambar berbeza, tetapi yang berbeza itulah yang selalunya menyebabkan orang betul-betul suka atau tidak. Ini bukan satu masalah. Yang penting buat saja’, katanya, berkongsi resipi menjadi jurugambar tersohor negara.

Sebagai seorang yang disleksik dan pesakit dibetik Type I, Soraya tidak menganggap ini adalah halangan untuk beliau terus melanjutkan pelajarannya di pusat penggajian tinggi. Soraya mengimbau zaman kuliahnya di ITM yang mana beliau seringkali diejek sebagai ‘ayam injek’ oleh ‘senior’ dan tidak disukai oleh sesetengah pelajar dan pensyarah kerana kerap bertanya dan keinginan untuk membuat lebih dari apa yang dikehendaki. Beliau banyak membaca dan mengkaji. Mengkaji adalah ‘trademark’ disleksik. Sekiranya seseorang disleksik minat tentang sesuatu, dia akan mengkaji dengan lebih mendalam.

“Saya bukan pelajar yang disukai oleh penyarah, kerana saya sering bertanya dan ingin mengetahui sesuatu perkara dengan mendalam. Disebabkan itulah kadangkala saya dilihat kurang sopan, sedangkan saya inginkan sesuatu dengan alasan konkrit, bukan mengikut teori semata-mata,” katanya tersenyum mengimbau kenangan semasa bergelar pelajar dulu.

Pembabitan dalam fotografi, permulaan agak ganjil. Ketika zaman remaja, meminati kumpulan pop rock Inggeris, Duran Duran, khususnya pemain keybord, Nick Rhodes.

“Nick menggunakan kamera Nikon di dalam klip video James Bond bertemakan ‘A View to a Kill’ dan itulah kebetulannya. Tetapi apabila mula membabitkan diri dalam fotografi, saya mula merasakan keperluan untuk serius,” katanya.

KARYA berjudul 'Where Is Chin Kon Yit'.

KARYA berjudul 'Where Is Chin Kon Yit'.

Bergerak sebagai jurugambar persendirian, bukan saja perlu ‘berbeza’ tetapi serentak dengan itu memastikan kualiti persembahan, sementelah, menerima bayaran untuk setiap hasil kerja dilangsaikan.

“Setiap gambar miliki jiwa, dan apabila jurugambar itu berjaya merakamkan perasaan orang yang dirakam, itulah jiwa yang terpancar menerusinya. Sebelum melakukan tugasan, perlu kita ketahui di mana ‘kekuatan’ subjek. Sama ada pada senyuman atau bundar mata pemiliknya. Individu tidak perlu memberitahu hal ini, sebaliknya jurugambar seharusnya arif ‘membaca’,” katanya.

Menghasilkan sajian sedemikian’, kesabaran dan minat adalah rencah utama di dalamnya. Baginya mood, individu dengan gaya bersahaja atau mungkin juga gaya spontan, boleh melahirkan buah tangan mengagumkan, bukannya tempoh masa panjang untuk mengambil gambar. Kerja pula bertambah mudah sekiranya individu berkenaan faham, dan menuruti arahan diberikan.

Mengulas mengenai rentetan kehidupan jurugambar di negara ini, Soraya tidak menafikan ia terlalu berbeza sekiranya dibandingkan di negara Barat umpamanya. Kebanyakan masyarakat kita masih tidak mampu menghargai seni.

“Kerja orang seni sukar mendapat pengiktirafan.(ini adalah satu lagi penyebab saya menghasilkan buku Imaging Selfs, Soraya Yusof Talismail, Portraits of Artists untuk mengiktiraf seniman-seeniman Malaysia) Saya pernah dijemput sebagai tetamu majlis pelancaran buku SHE. Di sana saya diperkenalkan sebagai jurugambar dan ada yang bertanya, ‘tak bawa kamera ke?’. Yang bertanya ini bukanlah orang sebarangan, malah seorang yang telah diberi anugerah yang begitu tinggi dan bergelar Tan Sri. Bukankah saya tetamu majlis, dan perlukah saya membawa kamera untuk majlis yang sepatutnya saya dirai, untuk menunjukkan saya jurugambar? Orang sebegini, bukan saja tidak memahami malah tidak menghormati profesion pihak lain,” katanya.

Jelasnya, memikirkan kerja mengambil gambar boleh dilakukan oleh sesiapa saja di antara sebab ‘membunuh’ kerjaya itu daripada terus mendapat pengiktirafan, tetapi itulah yang perlu ditelan urugambar di Malaysia. Beliau sendiri tidak menafikan pada awal melangkah ke menara gading, ada yang memandang sinis kursus yang diambil itu.

“Orang tidak melihat kerjaya ini sebagai penting, malah mencari contoh jurugambar hebat ketika itu, pun payah, tetapi Alhamdulillah, keluarga tetap menyokong. Mungkin kerana saya disleksik dan ‘difficult’ maka keluarga memberikan tumpuan yang lebih dan memberi kepercayaan dan sokongan kepada saya,” katanya.

Menyentuh mengenai tawaran mengambil gambar bogel, beliau tidak menafikan ada menerima tawaran sebegitu, bagaimanapun pada saat akhir menolakkan, atas pelbagai alasan.

“Pada peringkat awal saya menyatakan persetujuan, berlandaskan seni, profesion dan rakan, tetapi Ariff memberikan alasan tertentu supaya berkata tidak untuk tawaran itu. Beliau mengingatkan saya tiga perkara yang penting iaitu; Kita di mana? Bangsa kita apa? Dan Agama kita apa? Kita di Malaysia. Kita bangsa Melayu. Agama kita Islam. Nokta!

“Saya memikirkan sekiranya menerima tawaran itu sekarang, mungkin empunya diri seronok dan gembira, tetapi bagaimana pada masa akan datang? Pelbagai kemungkinan boleh berlaku justeru saya memilih jalan terbaik belandaskan pesanan Ariff”, katanya.

Beliau bagaimanapun, menafikan faktor jantina mempengaruhi cara kerja sebaliknya, apabila menghasilkan sesuatu yang berkualiti, sudah tentu ia menjadi sebutan.

Pemikiran yang berbeza itu mendorongnya bergerak sendiri dengan penubuhan syarikat Talismail Inc. Beliau juga bertuah kerana suaminya Ariff Awaluddin mencintai bidang sama, menjadikan gandingan itu mantap dan berjaya.

KENANGAN melancong diabadikan dalam buku skrap.

KENANGAN melancong diabadikan dalam buku skrap.

Bukan jurugambar istana

“SAYA bukan jurugambar istana atau Royal Photographer, sebaliknya bekerja untuk sesiapa saja. Mungkin kerana kerap diundang, dan mendapat kepercayaan keluraga diRaja, maka saya menjadi pilihan. Saya tidak menyalahkan gelaran diberikan itu tetapi menerusinya ramai memikirkan saya meletakkan harga yang tinggi, dan ada pihak memberikan tanggapan negatif,” katanya.

Gelaran itu berasas, sungguhpun dinafikan. Manakan tidak kerana sejak daripada bergelar pelajar lagi, pada 1989, beliau ‘dicari’ untuk mengambil gambar Permaisuri Agong, Tuanku Bainun. Bagaimanapun, kerana mempunyai pameran bersama pelajar seni halus dan fotografi ITM di Kuching, Sarawak, peluang itu terlepas begitu saja. Nyatakan itu petanda rezeki, kerana tidak lama selepas itu namanya sekali lagi dicari untuk merakamkan gambar malam banquet CHOGM yang dihadiri oleh Queen Elizabeth II di Istana Negara.

Mengulas mengenai pengalaman itu, katanya beliau amat seronok kerana minat mengikuti kisah British Royal Family itu sejak remaja. Sungguhpun begitu tidak dapat menyembunyikan rasa gementar, kerana kurang arif mengenai protokol, sebaliknya hanya bertawakal. Bertitik tolak daripada itu, beliau semakin kerap menerima undangan istana untuk mengambil gambar rasmi atau peribadi.

“Saya mempunyai prinsip sekiranya kita ikhlas melakukan sesuatu, maka hasilnya akan terserlah juga. Saya tidak menyifatkan diri sudah berjaya sebaliknya akan terus belajar kerana setiap tugasan baru adalah cabaran yang perlu ditempuh dengan sebaiknya,” katanya.

Profil
Soraya Yusof Talismail

Usia: 40 tahun

Asal: Petaling Jaya, Selangor.

Suami: Ariff Awaluddin

Usia: 53 tahun

Asal: Rembau, Negeri Sembilan

Anak: Ushuaia

Usia: 10 tahun

Info

  • Selain gambar, pasangan itu turut berminat dalam bidang masakan apabila merealisasikan impian membuka bistro, Kokopelli Travellers Bistro, berkonsepkan galeri seni, tidak jauh daripada kediaman mereka di Petaling Jaya.
  • Pameran solo: Imaging Selfs, Portrait of Artists, Galeri Petronas, KLCC, 2008, ‘Cindai’ di Panggung Eksperimen (1995) – Bakai di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (1996) – Sunflowers di Galeri Skoob Book, Kuala Lumpur (1997)- Rubiah di Istana Budaya, Kuala Lumpur (1999).
  • Pameran berkumpulan: Lebih 30 pameran berkumpulan di Malaysia, Singapura, UAE dan Itali sejak 1989 hingga 2005.

    * Khidmat: Pernah menjadi jurugambar peribadi Tuanku Bainun pada zaman

    perkhidmatannya sebagai Raja Permaisuri Agong.

    * Keahlian: Professional Photographers of American PPA

    * Anugerah:

    Pelajar terbaik jurusan fotografi ITM (UiTM) pada 1987 dan 1990.

    Pingat Bentara Setia Diraja dikurniakan Tuanku Sultan Azlan Shah.

  • Advertisements




    Steven V L Lee – Raja potret

    19 12 2008

    stevenTip ambil gambar potret terbaik

    DALAM cabang fotografi, potret adalah genre paling digemari sama ada jurugambar, peminat seni fotografi mahupun orang biasa.

    Subjek untuk fotografi potret iaitu manusia lebih mudah dirakamkan namun emosi yang terpamer pada wajah subjek mampu memberi impak mendalam kepada siapa saja yang melihatnya.

    “Walaupun dengan ekspresi wajah bersahaja atau serius yang terpancar di wajah subjek sesebuah potret, macam-macam interpretasi akan dilahirkan daripada setiap individu yang melihatnya,” kata jurugambar profesional, Steven V L Lee.

    Jurugambar kelahiran Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) ini adalah antara jurugambar yang sering memilih genre potret dalam karya fotografinya berbanding genre lain.

    Lee memulakan karier dalam bidang fotografi sebagai jurugambar kembara dan dokumentari pada lewat 1990-an serta menulis artikel kembara untuk beberapa majalah dan penerbitan.

    Lee turut menghasilkan beberapa naskhah buku bergambar atau coffe-table book yang banyak mengetengahkan ‘warna-warni’ Malaysia antaranya Outside Looking In : Kuala Lumpur pada 2000 dan terbaru, Malaysians yang diterbitkan tahun lalu.

    Selepas sekian lama berkecimpung dalam kerjaya fotografi, Lee terpanggil berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan penggemar seni fotografi.

    Terbaru, Lee terbabit dalam menganjurkan pertandingan fotografi bertaraf dunia, KL Photoawards 2009 yang antara lain bertujuan memperkenalkan Malaysia sebagai tumpuan seni fotografi untuk peminat di serata dunia.

    “Pertandingan ini tepat pada masanya kerana ramai antara kita memiliki kamera canggih dan minat mendalam terhadap fotografi.

    “Diharap perkongsian seperti ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada penggiat dan peminat seni fotografi tempatan. Mereka boleh melihat karya fotografi penggiat luar negara manakala orang luar pula dapat melihat karya kreatif dari Malaysia,” jelas beliau bersungguh-sungguh.

    Sambil menggalak penggemar dan penggiat fotografi tempatan menyertai Pertandingan KL Photoawards 2009, Lee turut bercerita serta memberi panduan seni fotografi potret kepada pembaca XY – Ikon Lelaki.

    Secara umum, apa itu fotografi potret dan mengapa ia istimewa berbanding genre lain?

    Pertamanya, fotografi potret berteraskan elemen manusia. Berbanding subjek lain yang kaku, fotografi potret memerlukan jurugambar mewujudkan ‘hubungan’ dengan subjek, tanggapan yang baik kepada mereka serta membuatkan mereka berasa selesa sebelum mengambil gambar mereka.

    Sebelum mengambil gambar potret, kita harus tahu tujuan kita mengambilnya dan siapakah khalayak yang akan melihatnya. Potret tak semestinya memaparkan wajah saja tapi boleh merangkumi tubuh seseorang keseluruhannya dan tidak semestinya seorang saja. Kita juga perlu pastikan sama ada untuk mengambil potret mereka yang berada di tempat orang ramai atau orang yang sedang bekerja atau melakukan sesuatu.

    Apa elemen penting dalam fotografi potret?

    Fotografi itu sendiri banyak membabitkan proses pemerhatian. Penting untuk mendapatkan waktu, emosi dan teknik yang betul dalam mengambil gambar potret. Kita dapat lihat semakin ramai yang mengambil gambar potret sekarang ini. Namun kebanyakannya tidak mempunyai tujuan dalam fotografi yang dilakukan.

    Maksudnya, mengambil gambar potret seseorang tanpa sebab atau tanpa mengambil tahu siapa subjek mahupun latar belakang dirinya. Seperti yang saya katakan tadi, seelok-eloknya, bila mengambil gambar potret, seseorang jurugambar perlu ada ‘hubungan’, sekurang-kurangnya mengetahui siapa subjek yang diambil itu. Mungkin ia mempunyai nilai dari segi estetika namun ia seolah-olah tidak lengkap.

    Hubungan yang bagaimana yang anda maksudkan?

    Hubungan yang ingin diwujudkan ini tidak semestinya menerusi kata-kata, pandangan mata antara anda berdua (jurugambar dan subjek) pun mencukupi. Pendek kata, ada pelbagai cara dan pendekatan dalam fotografi potret ini sebenarnya. Saya lebih suka memanggilnya sebagai ‘people photography’.

    Apakah ada sebarang kriteria diletakkan untuk memilih subjek yang ingin diambil gambar potretnya itu?

    Jika ia diambil untuk sesuatu tujuan tertentu, memang ada kriteria yang perlu dipenuhi. Misalnya, dalam buku Malaysians yang pernah saya hasilkan dengan rakan wartawan di United Kingdom (UK), Haliza Hashim-Doyle, saya perlu mencari subjek yang mempunyai wajah bercirikan Malaysia.

    Tapi untuk fotografi potret secara umum, sesiapa saja boleh menjadi subjek. Apabila saya keluar membawa kamera dan ternampak seseorang yang menarik perhatian dan situasi yang bersesuaian, saya akan rakamkan gambar mereka. Sudah tentu saya akan beritahu mereka sebelum merakamkannya.

    Bolehkah rakaman potret dilakukan secara spontan?

    Rakaman boleh juga dilakukan secara spontan, tapi hasilnya mungkin berlainan. ‘Kuasa’ sesebuah potret banyak terletak kepada pandangan mata subjek, jadi jurugambar harus mendapatkan pandangan berkenaan.

    Dalam fotografi potret, saya lebih suka subjek memberikan wajah serius atau tanpa emosi kerana ia lebih klasikal. Teringat ketika zaman penggunaan kamera dulu-dulu, foto lama biasanya menunjukkan subjek di dalamnya dengan ekspresi wajah serius. Seperkara lagi, dengan ekspresi serius ataupun ‘kosong’, ia mengundang pelbagai tanggapan mengenai emosi subjek itu.

    Apa yang membuatkan sesebuah gambar potret itu bagus?

    Bila sesebuah gambar potret dapat mencetuskan sesuatu perasaan dalam hati orang yang melihatnya, ia hampir boleh disifatkan sebagai bagus. Selebihnya terletak kepada aspek teknikal fotografi, baik dari segi pencahayaan dan banyak lagi.

    Apa pula yang membuatkan seseorang jurugambar potret itu bagus?

    Jurugambar potret mestilah mempunyai kebolehan memerhati Mereka juga perlu memahami sifat semula jadi dan ekspresi manusia serta mampu merakamkan sesuatu yang berbeza.

    Setiap kali hendak merakamkan potret seseorang, sebaik-baiknya anda memastikan ada jarak antara anda dan subjek supaya mereka lebih selesa dan mempunyai ‘ruang’ untuk menjadi diri sendiri.

    Bagaimana anda membezakan nilai antara satu potret dengan potret yang lain dalam koleksi anda?

    Secara peribadi, saya tidak pernah meletakkan nilai kepada sesuatu kerja potret yang saya hasilkan. Dalam erti kata lain, saya tidak mengatakan suatu potret itu lebih istimewa daripada potret yang satu lagi.

    Tapi saya tidak nafikan, potret orang terkenal yang kita sukar memperoleh peluang merakamkan wajah mereka atau dengan ekspresi wajah mereka yang jarang dilihat akan membuatkan sesebuah potret itu lebih berharga.

    Adakah tajuk atau penerangan pada sesebuah potret memainkan peranan penting?

    Ya, tajuk dan penerangan pada potret boleh dikatakan penting. Ia memberi arah kepada individu yang melihatnya mengenai potret berkenaan. Secara tidak langsung, penerangan ini juga memberikan pemahaman yang mendalam kepada mereka.

    Perkara pertama yang anda pelajari mengenai fotografi potret?

    Kita mesti tahu sabar. Kita tidak semestinya akan memperoleh emosi yang diinginkan pada subjek dengan begitu cepat. Biasanya dalam sesuatu fotografi potret yang dilakukan, anda akan mengambil potret pertama ataupun potret terakhir yang anda rakamkan sebagai pilihan.

    Selain itu, kita tidak boleh jemu mencuba dan sentiasa memantapkan kemahiran teknikal dalam fotografi. Perancangan juga adalah aspek penting dalam fotografi potret. Anda perlu rancang konsep, pakaian dan pencahayaan bagaimana yang diinginkan untuk potret yang dirakamkan.

    Pandangan anda mengenai penggunaan teknologi digital untuk memanipulasikan gambar?

    Saya lebih suka jika sesuatu gambar yang dirakamkan itu tampak semula jadi dan tidak banyak diubah dengan garapan perisian digital. Setakat menyelaraskan ‘saturation’ dan ‘aperture’ tidak mengapalah. Kita adalah jurugambar, bukan artis grafik.

    Kerja potret terbaik anda?

    Sukar untuk saya nyatakan yang mana satu kerana banyak yang memberi kepuasan kepada saya. Satu daripadanya adalah potret gadis tempatan yang dijadikan kulit buku Malaysians yang dihasilkan sebelum ini. Ekspresi dan pengcahayaan pada potret itu cukup sempurna.

    Info KL Photoawards 2009

  • Pertandingan ini terbuka kepada semua jurugambar seluruh dunia baik amatur mahupun profesional.
  • Tema pertandingan yang pertama kali dianjurkan Explorenation.net dan Time Out KL ini adalah ‘Potrait’ (potret).
  • Hadiah lumayan mencecah AS$3000 (kira-kira RM10,000) ditawarkan untuk pemenang.
  • Tarikh akhir penyertaan 1 Mac 2009.
  • Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.klphotoawards.com.




  • You Tube – Bukan Sekadar Tontonan

    19 12 2008





    Leica M8.2 – Cita rasa profesional

    18 12 2008

    leicam82

    KAMERA Leica M8.2 merupakan satu signifikan dalam pembangunan kamera profesional buatan syarikat Jerman. Meneruskan kegemilangan Leica M8 dalam kerja-kerja intuitifnya, Leica M8.2 menyajikan lebih aspek pembaikan. Bagaimanapun, model terbaru ini tetap mengekalkan karektor rangkaian kameranya yang terdahulu iaitu kompak, berkualiti dengan lensa siri M, dan komposisi unik gambar.

    Leica M8.2 ibaratnya seperti menyempurnakan M8. Banyak komponen intergrasinya masih boleh digunakan pada kedua-duanya.

    Leica M8.2 menyepadukan shutter fokus berlogam yang beroperasi secara lebih perlahan dan kadar getaran yang rendah. Dengan itu, ia membolehkan jurugambar menentukan masa yang tepat untuk memetik shutter.

    Sebagai respons kepada permintaan banyak jurugambar profesional, M8.2 didapati dalam dua varian iaitu hitam dan perak. Model hitam terbarunya diserikan dengan rekaan segar dot Leica dan aksesori yang sesuai digandingkan dengan warna kamera. Versi hitamnya juga lebih tahan lasak dan berkemasan hitam menawan.





    Jurufoto akhbar Tamil dakwa dikasari Samy Vellu

    17 12 2008

    PETALING JAYA: Jurufoto akhbar Tamil, Makkal Osai mendakwa dia dikasari Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu ketika membuat liputan majlis makan malam di Klang semalam.

    Kira-kira 12 jam selepas membuat laporan, jurufoto berkenaan, M. Samy atau lebih dikenali dengan nama Vinoth berkata, beliau telah dihubungi oleh seorang wakil Samy vellu yang memintanya menarik balik laporan polis berkenaan yang dibuat di Balai Polis Klang malam tadi.

    “Pagi tadi seseorang telah hubungi saya dan minta tarik balik (laporan), tapi saya tak boleh tarik balik.

    “Saya telah dimalukan depan orang ramai… semua orang nampak tindakan kasar itu,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

    Dalam kejadian di Kelab Eksekutif Klang semalam, jurufoto itu mendakwa bekas Menteri Kerja Raya berkenaan bertindak kasar dengan menarik kamera miliknya.

    “Beliau turun dari pentas selepas menamatkan ucapannya dan pergi marah-marah di sebuah meja.

    “Saya masa itu (sedang) ambil gambar beliau tengah marah, tapi kemudian beliau terus rampas kamera saya.

    “Bila beliau tahu saya jurufoto dari Makkal Osai, terus dia terus tambah marah dengan berkata bahawa sebab Makkal Osai, MIC kalah teruk pada pilihan raya umum lalu,” katanya menceritakan semula kejadian yang dihadiri oleh kira-kira 140 orang ahli MIC dari bahagian Klang dan Kapar.

    Pada mulanya Samy marah kepada tetamu yang hadir kerana tidak memberi tumpuan semasa beliau menyampaikan ucapan dan sibuk menikmati hidangan dan berjalan keluar.

    Justeru, katanya, Samy menghentikan ucapannya bagi memberi peluang tetamu yang hadir untuk makan dahulu.

    Setengah jam kemudian beliau kembali ke pentas dan berkata akan menghentikan ucapannya kerana mendakwa tiada siapa yang memberi perhatian.

    Vinoth menjelaskan, selepas Samy turun dari pentas buat kali kedua itulah kejadian tersebut berlaku.

    “Bila beliau rampas kamera saya, beliau marah saya dan kata wartawan Makkal Osai tidak boleh datang ke majlis itu dan tak boleh ambil gambar.

    “Tapi saya datang atas urusan kerja kerana kehadiran saya memang dijemput oleh seorang ahli MIC yang terlibat dalam majlis itu.

    “Kalau saya tak boleh buat liputan sekalipun mengapa beliau tak cakap awal-awal masa saya ambil gambar beliau dikalungkang bunga malai… ini beliau marah bila saya ambil gambar dia tengah marah orang,” katanya.

    Jelasnya lagi, beliau akan mendapatkan khidmat peguam bagi membantu menguruskan kes ini kerana mendakwa insiden sedemikian adalah kali kedua dialaminya.

    Vinoth mengakui kameranya telah dipulangkan selepas insiden itu berkahir tetapi sebahagian gambar telah dipadamkan.

    Sumber : http://www1.mstar.com.my





    Tips: GAMBAR LANSKAP

    10 12 2008

    Pengambilan gambar lanskap tidak terhad kepada pemandangan bukit-bukau, laut atau sawah padi sahaja kerana anda boleh memasukkan unsur-unsur seperti langit, air (sungai, laut, tasik dan sebagainya) serta bangunan.

    Untuk gambar lanskap, anda tidak perlu pergi jauh kerana persekitaran tempat tinggal anda juga mempunyai keindahan tersendiri. Contohnya di tempat saya ada Air Terjun Sungai Tekali, Empangan Semenyih, Banjaran Titiwangsa, sawah padi di Beranang, Bangunan kilang di kawasan perindustrian Beranang, tasik di Bdr Tasik Kesuma, ladang getah di Rinching, dan banyak lagi.

    Awal pagi dan waktu senja merupakan waktu yang sesuai untuk mengambil gambar lanskap. Antara sebabnya ialah ia berupaya memberi kesan cahaya yang berbeza dari biasa. Kabus di sebelah pagi, dan cahaya suram kemerahan di sebelah senja, pastinya memberi kesan emosi pada gambar yang dirakam. Keupayaan anda memberi PERASAAN pada gambar anda, pasti memberi impak yang besar pada mereka yang melihat. Itu kejayaan paling memuaskan pada setiap fotografer.

    Untuk menghasilkan gambar lanskap yang menarik, lensa sudut luas amat sesuai digunakan kerana ia memberi skop yang amat luas. Hasilnya, ia boleh memberikan details yang lebih terperinci bagi lanskap yg hendak kita rakamkan itu. Contohnya, jika kita mengambil lanskap sawah padi, di samping memasukkan unsur langit, horizon, bukit bukau, dan sawah padi, kita juga boleh memperlihatkan helaian daun dan butir-buah padi di dalam satu keping gambar jika kita menggunakan lensa sudut luas.

    Sekiranya ingin memasukkan kaki langit (horizon), anda boleh meletakkan kaki langit samada di tengah-tengah gambar, di atas atau di sebelah bawah mengikut imaginatif anda. Ia juga bergantung kepada apa yang sebenarnya ingin anda tonjolkan. Jika hendak menonjolkan awan yang berkepul dan kebiruan langit, letakkan horizon anda di bawah. Sebaliknya jika hendak menonjolkan permukaan pantai bersama sampan atau bukit bukau yang serba hijau, letakkan horizon anda di sebelah atas. Pasti gambar anda jadi sangat menarik.





    Outdoor Photoshoot by Zoomer Photography

    10 12 2008

    Imej-imej Outdoor Photoshoot yang dirakam oleh Zoomer dari Zoomer Photography. Untuk melihat hasilkerja beliau atau membuat tempahan, sila klik Zoomer Photography