Steven V L Lee – Raja potret

19 12 2008

stevenTip ambil gambar potret terbaik

DALAM cabang fotografi, potret adalah genre paling digemari sama ada jurugambar, peminat seni fotografi mahupun orang biasa.

Subjek untuk fotografi potret iaitu manusia lebih mudah dirakamkan namun emosi yang terpamer pada wajah subjek mampu memberi impak mendalam kepada siapa saja yang melihatnya.

“Walaupun dengan ekspresi wajah bersahaja atau serius yang terpancar di wajah subjek sesebuah potret, macam-macam interpretasi akan dilahirkan daripada setiap individu yang melihatnya,” kata jurugambar profesional, Steven V L Lee.

Jurugambar kelahiran Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK) ini adalah antara jurugambar yang sering memilih genre potret dalam karya fotografinya berbanding genre lain.

Lee memulakan karier dalam bidang fotografi sebagai jurugambar kembara dan dokumentari pada lewat 1990-an serta menulis artikel kembara untuk beberapa majalah dan penerbitan.

Lee turut menghasilkan beberapa naskhah buku bergambar atau coffe-table book yang banyak mengetengahkan ‘warna-warni’ Malaysia antaranya Outside Looking In : Kuala Lumpur pada 2000 dan terbaru, Malaysians yang diterbitkan tahun lalu.

Selepas sekian lama berkecimpung dalam kerjaya fotografi, Lee terpanggil berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan penggemar seni fotografi.

Terbaru, Lee terbabit dalam menganjurkan pertandingan fotografi bertaraf dunia, KL Photoawards 2009 yang antara lain bertujuan memperkenalkan Malaysia sebagai tumpuan seni fotografi untuk peminat di serata dunia.

“Pertandingan ini tepat pada masanya kerana ramai antara kita memiliki kamera canggih dan minat mendalam terhadap fotografi.

“Diharap perkongsian seperti ini secara tidak langsung memberi pendedahan kepada penggiat dan peminat seni fotografi tempatan. Mereka boleh melihat karya fotografi penggiat luar negara manakala orang luar pula dapat melihat karya kreatif dari Malaysia,” jelas beliau bersungguh-sungguh.

Sambil menggalak penggemar dan penggiat fotografi tempatan menyertai Pertandingan KL Photoawards 2009, Lee turut bercerita serta memberi panduan seni fotografi potret kepada pembaca XY – Ikon Lelaki.

Secara umum, apa itu fotografi potret dan mengapa ia istimewa berbanding genre lain?

Pertamanya, fotografi potret berteraskan elemen manusia. Berbanding subjek lain yang kaku, fotografi potret memerlukan jurugambar mewujudkan ‘hubungan’ dengan subjek, tanggapan yang baik kepada mereka serta membuatkan mereka berasa selesa sebelum mengambil gambar mereka.

Sebelum mengambil gambar potret, kita harus tahu tujuan kita mengambilnya dan siapakah khalayak yang akan melihatnya. Potret tak semestinya memaparkan wajah saja tapi boleh merangkumi tubuh seseorang keseluruhannya dan tidak semestinya seorang saja. Kita juga perlu pastikan sama ada untuk mengambil potret mereka yang berada di tempat orang ramai atau orang yang sedang bekerja atau melakukan sesuatu.

Apa elemen penting dalam fotografi potret?

Fotografi itu sendiri banyak membabitkan proses pemerhatian. Penting untuk mendapatkan waktu, emosi dan teknik yang betul dalam mengambil gambar potret. Kita dapat lihat semakin ramai yang mengambil gambar potret sekarang ini. Namun kebanyakannya tidak mempunyai tujuan dalam fotografi yang dilakukan.

Maksudnya, mengambil gambar potret seseorang tanpa sebab atau tanpa mengambil tahu siapa subjek mahupun latar belakang dirinya. Seperti yang saya katakan tadi, seelok-eloknya, bila mengambil gambar potret, seseorang jurugambar perlu ada ‘hubungan’, sekurang-kurangnya mengetahui siapa subjek yang diambil itu. Mungkin ia mempunyai nilai dari segi estetika namun ia seolah-olah tidak lengkap.

Hubungan yang bagaimana yang anda maksudkan?

Hubungan yang ingin diwujudkan ini tidak semestinya menerusi kata-kata, pandangan mata antara anda berdua (jurugambar dan subjek) pun mencukupi. Pendek kata, ada pelbagai cara dan pendekatan dalam fotografi potret ini sebenarnya. Saya lebih suka memanggilnya sebagai ‘people photography’.

Apakah ada sebarang kriteria diletakkan untuk memilih subjek yang ingin diambil gambar potretnya itu?

Jika ia diambil untuk sesuatu tujuan tertentu, memang ada kriteria yang perlu dipenuhi. Misalnya, dalam buku Malaysians yang pernah saya hasilkan dengan rakan wartawan di United Kingdom (UK), Haliza Hashim-Doyle, saya perlu mencari subjek yang mempunyai wajah bercirikan Malaysia.

Tapi untuk fotografi potret secara umum, sesiapa saja boleh menjadi subjek. Apabila saya keluar membawa kamera dan ternampak seseorang yang menarik perhatian dan situasi yang bersesuaian, saya akan rakamkan gambar mereka. Sudah tentu saya akan beritahu mereka sebelum merakamkannya.

Bolehkah rakaman potret dilakukan secara spontan?

Rakaman boleh juga dilakukan secara spontan, tapi hasilnya mungkin berlainan. ‘Kuasa’ sesebuah potret banyak terletak kepada pandangan mata subjek, jadi jurugambar harus mendapatkan pandangan berkenaan.

Dalam fotografi potret, saya lebih suka subjek memberikan wajah serius atau tanpa emosi kerana ia lebih klasikal. Teringat ketika zaman penggunaan kamera dulu-dulu, foto lama biasanya menunjukkan subjek di dalamnya dengan ekspresi wajah serius. Seperkara lagi, dengan ekspresi serius ataupun ‘kosong’, ia mengundang pelbagai tanggapan mengenai emosi subjek itu.

Apa yang membuatkan sesebuah gambar potret itu bagus?

Bila sesebuah gambar potret dapat mencetuskan sesuatu perasaan dalam hati orang yang melihatnya, ia hampir boleh disifatkan sebagai bagus. Selebihnya terletak kepada aspek teknikal fotografi, baik dari segi pencahayaan dan banyak lagi.

Apa pula yang membuatkan seseorang jurugambar potret itu bagus?

Jurugambar potret mestilah mempunyai kebolehan memerhati Mereka juga perlu memahami sifat semula jadi dan ekspresi manusia serta mampu merakamkan sesuatu yang berbeza.

Setiap kali hendak merakamkan potret seseorang, sebaik-baiknya anda memastikan ada jarak antara anda dan subjek supaya mereka lebih selesa dan mempunyai ‘ruang’ untuk menjadi diri sendiri.

Bagaimana anda membezakan nilai antara satu potret dengan potret yang lain dalam koleksi anda?

Secara peribadi, saya tidak pernah meletakkan nilai kepada sesuatu kerja potret yang saya hasilkan. Dalam erti kata lain, saya tidak mengatakan suatu potret itu lebih istimewa daripada potret yang satu lagi.

Tapi saya tidak nafikan, potret orang terkenal yang kita sukar memperoleh peluang merakamkan wajah mereka atau dengan ekspresi wajah mereka yang jarang dilihat akan membuatkan sesebuah potret itu lebih berharga.

Adakah tajuk atau penerangan pada sesebuah potret memainkan peranan penting?

Ya, tajuk dan penerangan pada potret boleh dikatakan penting. Ia memberi arah kepada individu yang melihatnya mengenai potret berkenaan. Secara tidak langsung, penerangan ini juga memberikan pemahaman yang mendalam kepada mereka.

Perkara pertama yang anda pelajari mengenai fotografi potret?

Kita mesti tahu sabar. Kita tidak semestinya akan memperoleh emosi yang diinginkan pada subjek dengan begitu cepat. Biasanya dalam sesuatu fotografi potret yang dilakukan, anda akan mengambil potret pertama ataupun potret terakhir yang anda rakamkan sebagai pilihan.

Selain itu, kita tidak boleh jemu mencuba dan sentiasa memantapkan kemahiran teknikal dalam fotografi. Perancangan juga adalah aspek penting dalam fotografi potret. Anda perlu rancang konsep, pakaian dan pencahayaan bagaimana yang diinginkan untuk potret yang dirakamkan.

Pandangan anda mengenai penggunaan teknologi digital untuk memanipulasikan gambar?

Saya lebih suka jika sesuatu gambar yang dirakamkan itu tampak semula jadi dan tidak banyak diubah dengan garapan perisian digital. Setakat menyelaraskan ‘saturation’ dan ‘aperture’ tidak mengapalah. Kita adalah jurugambar, bukan artis grafik.

Kerja potret terbaik anda?

Sukar untuk saya nyatakan yang mana satu kerana banyak yang memberi kepuasan kepada saya. Satu daripadanya adalah potret gadis tempatan yang dijadikan kulit buku Malaysians yang dihasilkan sebelum ini. Ekspresi dan pengcahayaan pada potret itu cukup sempurna.

Info KL Photoawards 2009

  • Pertandingan ini terbuka kepada semua jurugambar seluruh dunia baik amatur mahupun profesional.
  • Tema pertandingan yang pertama kali dianjurkan Explorenation.net dan Time Out KL ini adalah ‘Potrait’ (potret).
  • Hadiah lumayan mencecah AS$3000 (kira-kira RM10,000) ditawarkan untuk pemenang.
  • Tarikh akhir penyertaan 1 Mac 2009.
  • Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman web http://www.klphotoawards.com.

  • Tindakan

    Information

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s




    %d bloggers like this: