Menyegarkan kembali foto lama yang pudar

13 03 2009
Sharul Ridzuan memegang potret hasil kolaj dan isterinya, Khairul Bariah memegang sebuah potret lama yang telah mengalami proses restorasi.

Sharul Ridzuan memegang potret hasil kolaj dan isterinya, Khairul Bariah memegang sebuah potret lama yang telah mengalami proses restorasi.

PEPATAH Inggeris ada menyebut sekeping gambar mampu menceritakan seribu kisah (a picture can tell a thousand stories). Sekeping gambar juga mampu mengembalikan memori indah bukan sahaja kepada pemiliknya malah beberapa lapisan generasi selepas itu.

Fitrah manusia, semakin meningkat umur daya pemikiran juga semakin berkurang, lalu melalui gambarlah segala peristiwa dan kenangan dirakam untuk dikongsi dengan generasi seterusnya.

Namun seiring penambahan usia, gambar juga akan mengalami proses ‘penuaan’ akibat pendedahan kepada udara, titisan air dan cara penyimpanan yang kurang sempurna.

Imej pada sekeping gambar akan terhakis dan meninggalkan tompok-tompok putih yang menjejaskan kualiti keseluruhan gambar tersebut.

Lebih teruk, kerosakan menular hingga menyebabkan wajah individu atau imej pada gambar hilang terus tanpa dapat dikesan. Kebimbangan bahawa gambar yang disimpan akan terus pudar dan rosak begitu sahaja telah membawa kepada terciptanya teknologi restorasi yang begitu bermanfaat bukan saja untuk individu malah dalam dunia fotografi itu sendiri.

Terima kasih juga kepada penciptaan teknologi wasacth, iaitu gabungan teknik penggunaan bahan kimia terpilih, kreativiti dan perisian Fotoshop yang mampu mengembalikan seri gambar yang pudar dan tidak lengkap.

Bukan sekadar membaik pulih gambar malah teknologi ini juga mampu memberi warna kepada gambar hitam putih.

Walaupun teknologi ini berasal dari Amerika Syarikat, namun anak tempatan kini telah berjaya mengadaptasi dan menzahirkan beberapa lagi teknik restorasi berasaskan gabungan beberapa teknologi yang diberi nama wasacth tech.

Nama Sharul Ridzuan Abdul Salam, 33, dan Khairul Bariah Denan, 26, mungkin tidak begitu dikenali kerana mereka bukanlah jurugambar popular yang pernah mengadakan pameran solo dan sebagainya.

Namun, mereka adalah ‘orang di belakang tabir’ juga anak tempatan pertama yang mempelopori wasacth tech di negara ini.

Bermodalkan dengan minat yang mendalam, Sharul mengutip pengalaman bekerja di sebuah syarikat swasta selama lapan tahun sebelum benar-benar bersedia untuk mewujudkan galeri gambarnya sendiri.

Minat dicambah dan modal dikumpul hari demi hari, seiring dengan asahan kreativiti dan eksplorasi teknologi, Sharul bertekad untuk menjadi pemangkin dalam teknologi wasacth ini.

Kalau sebelum ini ramai yang menganggap teknik restorasi gambar adalah untuk golongan elit sahaja, Sharul mahu mengubah semua tanggapan tersebut. Ini kerana beliau mahu menjadi anak tempatan pertama yang bukan sekadar mempelbagaikan gabungan teknik malah menawarkan dalam harga yang amat berpatutan dan boleh dinikmati oleh golongan yang berpendapatan sederhana.

Teknik wasacth

Jelas Sharul lagi, tanpa perlu negatif asal, gambar yang telah pudar dan rosak boleh kembali kepada asal dengan teknologi ini.

“Gambar yang ingin dibaik pulih akan melalui beberapa proses sebelum dicetak di atas kanvas. Kami juga akan meletakkan sejenis bahan kimia khas yang akan membuatkan gambar tersebut mampu bertahan sehingga lebih 20 tahun asal tidak terkena percikan air,” jelas Sharul ketika ditemui di galerinya, Canvas Pixels yang terletak di Prima Saujana, Kajang, Selangor, baru-baru ini.

Sharul berkata, penggunaan kanvas untuk cetakan adalah lebih baik daripada cetakan di atas kertas biasa, ini kerana cetakan di atas kanvas mampu menghasilkan kualiti dan ketahanan yang lebih lama.

“Jika gambar yang ingin dibaik pulih rosak sepenuhnya di bahagian wajah, gambar rujukan diperlukan supaya kami boleh membentuk semula wajah yang telah hilang. Namun, jika hanya separuh wajah yang telah hilang, dengan teknologi yang ada, kami boleh membinanya semula.

“Bagi yang masih ingat warna pakaian yang dipakai pada gambar hitam putih boleh ‘mewarna’ gambar tersebut seterusnya menghasilkan gambar baru yang lebih ceria,” ujar Sharul yang pernah membaik pulih gambar lama yang diambil pada tahun 1813 milik sebuah kafe di Ampang, Selangor.

Sharul juga pernah menerima tempahan membaik pulih gambar daripada seorang Inggeris yang tinggal di Australia.

“Wanita Inggeris yang berusia lebih setengah abad mengetahui tentang khidmat kami menerusi internet dan terus menghantar emel kepada kami gambar yang ingin dibaik pulih yang telah disalin semula,” katanya sambil menunjukkan gambar wanita tersebut kepada penulis.

Menurut Sharul, proses membaik pulih atau mewarna gambar bergantung kepada tahap kerosakan gambar.

Katanya, jika sedikit sahaja yang terjejas, proses membaikpulih mungkin hanya mengambil masa tiga hari tetapi ada juga memakan masa selama dua minggu atau tiga minggu.

Selain proses restorasi, Sharul turut boleh memindahkan gambar dari satu gambar ke gambar yang lain.

“Contohnya, koleksi gambar pengantin di mana pemiliknya mungkin tidak suka reaksi wajahnya di atas pelamin sebaliknya lebih suka wajahnya ketika berjalan beriringan, jadi gambar wajah ketika berjalan dipindah ke gambar mereka sedang bersanding di atas pelamin tanpa ada sedikit pun kelainan,” tambah Sharul lagi.

Berdasarkan pengalamannya bekerja dulu, kebanyakan hanya orang Cina yang memanfaatkan teknologi tersebut. Malah, hasil kaji selidik yang dibuatnya sendiri mendapati orang Melayu menganggap proses restorasi ini sebagai sesuatu yang mahal dan hanya mampu dibuat oleh golongan berada sahaja.

“Harga untuk proses membaik pulih bermula daripada RM150 hingga RM800 mengikut saiz serta tahap kerosakan gambar. Sekali imbas harga itu mungkin agak mahal, tetapi harus diingat ia merangkumi proses cetak dan bingkai gambar yang mengikut cita rasa pelanggan.

“Jadi saya rasa ia amat berpatutan berbanding nilai gambar itu sendiri yang mungkin membawa makna cukup besar kepada pemiliknya,” jelasnya yang turut bercita-cita mewujudkan rangkaian Canvas Pixels di seluruh negara suatu hari nanti.

Info galeri

Galeri Canvas Pixels mengambil sudut tepi rumah kedai di Taman Prima Saujana. Ia menempatkan pelbagai koleksi gambar yang telah melalui proses restorasi, mewarna, kolaj, menukar latar belakang dan teknik memindah gambar.

Walaupun baru berusia tiga bulan, galeri ini telah mula dikenali dan menjadi tumpuan pengunjung dari Kajang dan Kuala Lumpur.

Dekorasinya yang lapang dan pemilihan cat yang ceria membuatkan ia tampil dengan konsep galeri yang lain daripada kebiasaan.

Selain perkhidmatan yang telah disebut di atas, mereka turut menjual gambar lukisan untuk perhiasan rumah dan pejabat.

“Kami ingin pengunjung memahami sendiri perkhidmatan menerusi gambar sebelum dan selepas yang dipamerkan. Selain itu, mereka boleh mencuci mata dengan pelbagai koleksi lukisan pemandangan yang eksklusif di sini,” jelas Sharul mengakhiri perbualan.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: