Polis boleh kesan pemilik telefon sebar foto lucah

13 03 2009
SATU adegan lucah klip video yang semakin tersebar luas dalam telefon bimbit.

SATU adegan lucah klip video yang semakin tersebar luas dalam telefon bimbit.

KUALA LUMPUR: Polis mempunyai kaedah tersendiri bagi mengenal pasti pemilik telefon bimbit yang menggunakan alat telekomunikasi itu bagi tujuan tidak sihat seperti mengambil gambar dan menyebarkan gambar lucah atau berunsur penghinaan terhadap orang lain.

Antaranya, menggunakan kaedah siasatan forensik, polis berupaya memperoleh butiran terperinci mengenai jenis dan model telefon bimbit digunakan serta masa dan tarikh gambar itu diambil.

Ini kerana setiap gambar, meskipun sudah disebarkan ke ribuan orang, masih mempunyai kod cap jari (fingerprint) yang menyimpan data mengenai semua butiran asal daripada alat yang digunakan oleh orang pertama.

Justeru, bertitik tolak daripada maklumat yang diperoleh itu, polis berupaya meneruskan siasatan dengan bantuan pengadu (mangsa penyebaran gambar lucah) untuk mengenal pasti pemilik telefon bimbit yang menyalahgunakan alat itu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din, berkata mangsa pasti boleh mengingati siapa rakan atau orang tertentu yang berada di lokasi kejadian dengan menggunakan telefon bimbit yang dikenal pasti.

“Biasanya kes penyebaran gambar lucah bermula apabila teman rapat mangsa mengambil gambarnya di lokasi tertentu dan disedari mangsa. Jika tanpa sedar sekalipun, mangsa pasti mengenali orang yang berada di situ.

“Justeru, apabila polis dapat mengenal pasti masa, tarikh serta jenis telefon bimbit, ia akan menjadi panduan utama untuk mangsa mengesahkan siapa pemiliknya dan ia akan memudahkan polis menyelesaikan siasatan. Selalunya, kes berkenaan akan dapat diselesaikan dengan kaedah itu.

“Begitu juga jika ia dirakamkan dengan kamera video. Kaedahnya sama dan meskipun formatnya sudah diubah, ia masih tidak memadamkan data asal yang diperlukan pihak kami,” katanya.

Namun, katanya, agak sukar bagi polis menjalankan siasatan jika rakaman itu dibuat secara hendap menggunakan kamera disembunyikan seperti kamera litar tertutup (CCTV) kerana meskipun ia turut meninggalkan data yang sama, mangsa tidak mengenali pemiliknya.

Bagi mengesan punca penyebaran pula, polis biasanya akan menjejaki secara manual dengan kaedah berundur iaitu bermula dengan penerima akhir, mengenal pasti pengirim dan seterusnya hingga ke penyebar terawal.

Namun, kaedah penyiasatan itu agak rumit dan memakan masa kerana jika seseorang pemilik telefon bimbit itu gagal dikesan, prosesnya akan terbantut dan memerlukan kaedah lain pula. Tambahan pula, banyak nombor telefon yang didaftarkan menggunakan kad pengenalan palsu.

Merujuk kepada kes penyebaran gambar atau video menggunakan laman web seperti blog pula, Mohd Kamarudin berkata, kaedah siasatan forensik agak berbeza kerana membabitkan banyak pihak lain termasuk pengendali laman blog berkenaan.

“Kebanyakan laman blog didaftarkan di luar negara. Untuk memperoleh maklumat mengenai penulis blog itu, polis terpaksa bekerjasama dengan pemilik laman web itu yang berpangkalan di luar negara. Masalahnya, tidak semua memberikan kerjasama.

“Ia bergantung pula kepada polisi di sesebuah negara. Ada negara yang mengklasifikasikan kes penyebaran gambar lucah sebagai kes kecil. Justeru, apabila polis meminta maklumat berkenaan kes seperti itu, mereka tak layan. Lainlah kalau ia kes membabitkan pengganas antarabangsa atau pembunuhan, mungkin mereka akan bantu.

“Ini kerana ada negara yang memandang kes gambar lucah sebagai kes remeh. Itu yang selalunya menyukarkan siasatan dijalankan kerana tiada kerjasama antarabangsa,” katanya.

Polis pula, katanya, tidak ada kuasa atau kaedah untuk menghalang mana-mana laman web yang menyebarkan gambar lucah. Polis hanya menyiasat dan tak ada kuasa menghentikannya. Namun, jika pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mampu meminta kerjasama pengendali laman web itu, ia mungkin dapat dilaksanakan.

Malah, merujuk kepada kes penyebaran gambar lucah, polis kebiasaannya hanya memulakan siasatan jika ada laporan dibuat. Tidak semua kes dilaporkan kerana mangsa tidak mahu isu itu menjadi hebahan ke seluruh negara.

Namun, katanya, mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia serta Akta Penapisan Filem, tak kira sama ada sekadar menyimpan atau menyebarkan gambar lucah, ia adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan 292.


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: