E-P1 hibrid cili padi Olympus

20 06 2009

e-p1-1

OLYMPUS berjaya menandingi pembuat kamera gergasi lain dengan memperkenalkan E-P1, kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR), dengan saiz sebesar telefon bimbit, lebih kompak, lebih ringan dan lebih mudah untuk digunakan.

Mungkin ada yang terkejut. Namun itulah hakikatnya, E-P1 dengan saiz kira-kira 120 milimeter, sarat dengan ciri-ciri DSLR yang mempunyai saiz dua kali ganda daripadanya.

Berkonsepkan kamera Olympus PEN – kamera legenda filem bingkai separuh yang diperkenalkan pada Oktober 1959 – E-P1 dilihat bakal menjadi pilihan tidak kira amatur mahu pun jurufoto profesional.

Sering mendahului rakan-rakan pengeluar dengan ciri-ciri eksentrik bagi sesebuah kamera penggunaan biasa termasuk kalis air, tahan renyuk, mampu jatuh dari ketinggian satu meter dan sebagainya, kali ini Olympus dilihat serius untuk menerajui segmen DSLR melalui kategorinya.

Tommy Nagashima (dua dari kiri) dan Tan Tick Boon (dua dari kanan) bersama dua orang model memperagakan kamera DSLR terkecil dunia E-P1 pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tommy Nagashima (dua dari kiri) dan Tan Tick Boon (dua dari kanan) bersama dua orang model memperagakan kamera DSLR terkecil dunia E-P1 pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

E-P1 yang dibangunkan menggunakan sistem Micro Four Thirds hanya mempunyai berat sekitar 335 gram tanpa lensa turut menyediakan rakaman video definasi tinggi (HD) yang tidak membataskan pengguna daripada memfokus atau mengezum berbanding rakaman video kamera pegun oleh pesaing terdekat.

Malah rakaman video HD ini juga didatangkan dengan ciri-ciri bunyi 16 bit lelurus yang tidak berkompromi dari segi kualiti bunyi rakaman.

Dengan pengecilan 42 peratus ataupun lebih ringan 500 gram berbanding kamera DSLR Olympus E-420, E-P1  dibangunkan dengan mempunyai kapasiti tinggi sensitiviti pencahayaan sehingga ISO 6400.

Mungkin ada yang bertanya mengenai kualiti rakaman imej E-P1 ekoran saiz yang kompak. Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Antarabangsa Olympus Corp., Tommy Nagashima menegaskan, kualiti merupakan aspek utama yang dititikberatkan Olympus.

“E-P1 menggunakan cip 12.3 mega piksel kelajuan tinggi sensor MOS langsung yang kini dipadankan dengan pemproses TruePic V walaupun kamera itu agak kompak.

“Jadi kualiti gambar yang dihasilkan mampu setanding dengan mana-mana kamera DSLR yang ada di pasaran selain E-P1 juga turut padankan dengan pelbagai ciri-ciri jaringan kamera DSLR sistem E kami termasuk sistem pengurangan habuk dan teknologi penstabil imej – teknologi yang diperkenalkan oleh Olympus,” katanya.

Dilancarkan serentak di bandar-bandar utama seluruh dunia Selasa lalu, E-P1 merupakan penggunaan eksklusif DSLR dalam era fotografi digital.

Menariknya, antara ciri-ciri E-P1 ialah rakaman imej pegun bersama-sama bunyi latar belakang stereo sesuai untuk penyampaian segera yang mempunyai bunyi asli terus dari kamera.

Selain itu, rakaman video HD juga boleh dihentikan dengan rakaman imej pegun dengan hanya satu butang ditekan.

Buat permulaan, E-P1 didatangkan dengan dua lensa M.Zuiko Digital, 17mm dengan bukaan apertur f2.8 (yang menyamai lensa 34mm pada kamera 35mm) dan 14-42mm f3.5-5.6 (28-8mm – kamera 35mm).

Jangan khuatir, walaupun hanya dua lensa yang diperkenal buat masa ini namun penggunaan penyesuai MMF-1, pemilik kamera DSLR kompak ini mampu menggunakan 20 lensa Four Thirds Olympus sedia ada untuk rakaman fokus auto.

Bukan hanya itu, E-P1 juga memberi kebebasan kepada pemilik untuk menggunakan lensa tradisional OM dengan penyesuai OM-2.

Tidak terbina flash dalaman bukan satu yang menyusahkan bagi bakal pemilik kamera cili padi ini kerana Olympus turut menyediakan flash kecil FL-14 yang mempunyai nombor penunjuk (GN) 20, cukup untuk rakaman dalam apa juga keadaan.

Mungkin bahasa fotografi di atas bakal membingungkan kebanyakan mereka yang mahu berjinak-jinak dengan hobi ini. Usah khuatir kerana dalam bahasa yang mudah, E-P1 merupakan kamera profesional yang mudah untuk dikendalikan oleh amatur mahupun mereka yang tidak tahu langsung mengenai kamera.

Aturan yang terbina pada kamera ini tidak terlalu sukar untuk difahami. Lebih menarik, ia juga didatangkan dengan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu mudah.

Kamera ini selain mudah digunakan turut didatangkan dengan pelbagai penuras seni yang mesra pengguna.

Jika sebelum ini memerlukan seorang yang pakar dalam memanipulasi menggunakan perisian penyuntingan gambar dan akan memakan masa sehingga berjam-jam untuk menjadikan rakaman imej menjadi cantik, penuras seni terbina dalam E-P1 hanya memerlukan satu butang ditekan dan selebihnya akan dilakukan oleh kamera berkenaan.

Lebih menarik, penuras seni ini bukan hanya untuk rakaman imej pegun, ia juga boleh digunakan untuk rakaman video HD E-P1.

Ini termasuk penuras seni Pop Art yang akan menaikkan warna imej untuk lebih terang dan menarik.

Selain itu, Soft Focus (sesuai untuk digunakan suasana damai dan lembut), Pale & Light Color (mengembalikan nostalgia zaman silam), Light Tone (menaikkan warna di zon terang), Grainy Film (mewujudkan imej hitam putih yang kuat serta hebat) dan juga Pin Hole (cara rakaman zaman silam untuk meningkatkan perasaan di dimensi lain) sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Jadi dengan adanya penuras seni ini, pengguna amatur atau mereka yang tidak biasa menggunakan kamera DSLR boleh menggabungkan ciri-ciri seni bersama-sama rakaman imej.

E-P1 yang tidak mempunyai lubang telekan menyediakan paparan masa sebenar pada skrin LCD 3 inci.

Malah, E-P1 juga mempunyai ciri-ciri pengesan muka sehingga lapan muka sekali gus untuk memudahkan pengguna merakamkan imej tanpa perlu kerap mengalihkan kamera.

Uji pandu singkat yang dijalankan ketika pelancaran Selasa lalu membuktikan apa yang dicetak di dalam brosur membenarkan kata-kata.

Mudah digunakan, amat praktikal bagi semua golongan jurufoto profesional atau amatur kerana bagi jurufoto profesional, E-P1 mampu dijadikan kamera sokongan semasa melakukan tugasan. Ia mampu menghasilkan foto yang mempunyai taraf yang sama dengan DSLR konvensional mereka namun tidak memakan ruang yang banyak di dalam beg kamera mereka.

Dan bagi mereka yang amatur, ia merupakan satu kamera permulaan yang mudah digunakan tetapi memberi ruang kepada mereka untuk menimba pengalaman dengan menggunakan ciri-ciri profesional kamera tersebut.

Pengarah Urusan Olympus Malaysia Sdn. Bhd., Tan Tick Boon berkata, E-P1 akan berada di pasaran negara ini pada minggu pertama Julai depan dengan dua kit yang berbeza.

“Kami menawarkan pengguna untuk memilih sama ada menggunakan salah satu atau kedua-dua lensa yang diperkenalkan dengan harga promosi terbaik,” katanya.

Untuk itu Tick Boon berkata, kit pertama E-P1 dengan lensa 14-42mm akan dijual pada harga RM2,999 manakala kit kedua E-P1 dengan lensa 17mm, lensa 14-42mm serta penelek optikal dijual dengan harga RM3,799.

Layari laman web Olympus Malaysia di http://www.olympusimage.com.my untuk keterangan lanjut.

Sumber : Utusan Malaysia


Tindakan

Information

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s




%d bloggers like this: