Tips – Pencahayaan

5 08 2008
Pencahayaan yang mencukupi memberikan warna-warna menarik

Pencahayaan yang mencukupi memberikan warna-warna menarik

Pencahayaan memainkan peranan yang amat penting dalam fotografi. Tanpa pencahayaan yang cukup, gambar yang terhasil akan menjadi gelap dan terdapat grain, iaitu bintik-bintik hitam seperti pasir yang pastinya akan merosakkan gambar biar bagaimana cantik pun komposisi dan kedudukan subjek.

Jika anda membuat penggambaran di luar (outdoor), sumber pencahayaan utama adalah matahari. Oleh itu setiap kali hendak menghalakan kamera kepada subjek, PASTIKAN KEDUDUKAN MATAHARI ADALAH DI BELAKANG JURUGAMBAR, bukannya dibelakang subjek. Ini akan menyebabkan muka subjek anda termasuk latarbelakang akan menjadi terang akibat suluhan matahari. Masa yang paling sesuai ialah pada sebelah pagi atau petang, bilamana kekuatan cahaya tidak terlalu keras, dan tonasi dan bayang yang terhasil menjadikan gambar lebih menarik.

ELAKKAN penggambaran diwaktu tengahari (kecuali terpaksa), kerana matahari akan berkedudukan tepat di atas kepala kita. Di samping kekuatan cahaya yang sangat keras, ia akan menghasilkan bayang yang buruk terutama di bahagian muka kita. Walaubagaimana pun, ada cara untuk meminimumkan kekerasan bayang itu. Caranya… akan saya terangkan di lain masa.

Advertisements




Bengkel – Portable Flash

5 08 2008

Satu bengkel tentang Portable Flash akan diadakan oleh fototeacher.com yang mana merupakan sambungan kepada Kursus Asas Fotografi Digital yang pernah mereka anjurkan dahulu. Bengkel tersebut akan diadakan pada 1-2 November 2008.

Semasa bengkel ini anda akan berpeluang mempelajari asas pencahayaan secara hands on dengan menggunakan portable flash*. Latihan terperinci untuk dapatkan hasil yang baik dengan cara yang murah, mudah dan cepat. Sesuai dihadiri oleh jurugambar perkahwinan, jurugambar event dan peminat fotografi umum yang ingin mempelajari asas pencahayaan portable flash. Portable Flash dimaksudkan sebagai flash yang boleh dipasang di atas kamera yang menggunakan kuasa bateri.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang bengkel ini, sila kunjungi website mereka di fototeacher.com

Zoomer : Kepada peminat fotografi dan mereka yang baru berkecimpung dalam bidang fotografi perkahwinan, yang berhajat untuk mencantikkan lagi kualiti gambar mereka, saya cadangkan agar hadirilah bengkel ini. Faedah yang anda akan dapati adalah terlalu banyak, pasti melebihi dari pelaburan yang perlu anda keluarkan nanti.





Kenapa Aku Anti WEDDING PHOTOGRAPHER…?

4 08 2008

Oleh : Fendyzaidan di http://www.fendyzaidan.com

Baik, masa yang dinanti sudah tiba. Aku akan menjadi target kutukan wedding photographer Malaysia dengan banyak sekali. Tetapi aku tak rasa semua akan terasa hasil entri ni kali ni, kerana aku tujukan entri ni kepada photog spesifik dan memang tepat lah kalau ada yang terasa macam dikeji dan dihina dan diperlekeh-lekehkan. Tapi ini semua demi kepentingan bersama dan menghapuskan trend semasa yang amat menjengkelkan. Boleh?

Wedding Photography juga telah menjadi satu trend di masa kini. Ramai photog dan bukan photog berebut memiliki DSLR dan mencuba nasib dalam bidang ini sebagai sumber pendapatan. Ini harus dipandang dari pelbagai sudut, baik dan buruknya. Yang baiknya, berjaya menarik minat lebih ramai kepada photografi, buruknya, akan ada hasil hasil kerja sampah yang berlambak di market tetapi dicharge dengan harga mengarut.

Pertama sekali, aku ingin nyatakan di sini adalah bukan semua Tukang Ambil Gambar Majlis Kahwin aku anti. Terdapat beberapa orang atau kumpulan yang telah menjadikan wedding photography sebagai trademark hasil kerja kreatif diaorang. Dan aku hormati usaha menjadi master dalam bidang ini. Nama-nama orang ini tak perlulah disebut, kerana pemilihan mereka juga subjektif kepada mata si pemerhati.

Aku akan terangkan kenapa aku anti kebanyakan Wedding Photog masa kini yang terikut trend popular dan membangga diri…

SHOT/ANGLE YANG REPETITIVE DAN TIDAK ORIGINAL.
Ya. Mereka mereka ini kebanyakannya tiada originaliti. Meniru dan mengulang shot-shot yang sampai muak dah nak tengok. Kononnya ia adalah shot mesti dan harus. Mereka ingin tampil kreatif dan hebat, tetapi kelesuan idea itu buatkan gambar mereka semakin tidak menarik. Contoh shot, adalah mengambil wajah pengantin perempuan dari cermin solek. Huhu. tengok lah, berlambak orang melakukannya. Satu lagi adalah shot dimana pengantin form bentuk love dengan gabungan kedua-dua tangan masing-masing bertemu. Adeh. Cukup?

Ada beberapa perkara boleh dilihat di sini. Thema, lokasi dan masa. Outdoor shooting mungkin, atau reception perkahwinan tersebut yang lebih memerlukan candid shots dari arrange compose shots. Arranged compose shots lebih sesuai ketika dibuat outdoor shoot atau indoor yang diatur. Bukan ketika majlis sedang berlangsung. Candid is the way to go bagi aku.

PROSES MENGEDIT YANG NTAH APA-APA.
Ya. Mereka ini juga kadang-kadang kurang arif dengan ilmu post processing. Kadang-kadang White Balance pun ada yang tidak betul. Ada juga gambar menjadi overedited atau tersalah tone warna malah banyak juga yang memerlukan color correction. Penggunaan typo yang bukan-bukan pada setiap gambar, editing yang bukan-bukan dengan penindanan layer yang salah penggunaannya. Oh, jangan kasik aku mula bercakap tentang mengedit gambar kepada HDR ala-ala DaveHill-ish. Mengarut. Sangat-sangat.

Aku mengkagumi mereka-mereka yang mengambil shot majlis reception menggunakan hitam putih yang amat simple tetapi nampak banyak effort untuk di execute. Aku gemar tengok gambar-gambar yang sekeping-sekepingnya diedit dengan teliti dan diberikan setiap satunya sentuhan peribadi pengedit gambar agar hasil yang diberikan kepada pelanggan adalah yang terbaik dan menepati bayaran yang diterima.

DENGAN DSLR, MENGGELARKAN DIRI MEREKA PROFESSIONAL.
Come on. Kamu tidak professional selagi kamu tidak melakukannya sepenuh masa dan sepenuh hati. Kerja untuk mencari “side income” adalah mengarut. Hasil mereka kebanyakannya seperti hentam keromoh. Asal ada gambar, asal ada hasil. Bagi aku, biarkan kerja-kerja bernilai professional kepada professional. Jangan kamu mengambil tawaran bayaran professional, tetapi kerja seperti amateur menggunakan compact digicam. Berlaku adil dengan pelanggan. Ini soal rezeki halal haram tahu? Satu lagi jangan berlagak, terutama sekali yang ada kumpulan ni. Jangan berlagak dengan otai-otai yang menegur. Terima teguran dan belajar dari kesilapan sebagai amateur berkamera mahal berhasil cabuk. Ada faham?

NILAI PERKHIDMATAN BAYARAN YANG MENGARUT.
RM2000 untuk shot yang amateur yang boleh dicapai dengan compact digicam? Semahal itu untuk gambar -gambar yang tersalah tone, white balance tak betul, out of focus, candid tah hapa hapa, dan mereka mengecas bayaran yang melampau pelik dan tak masuk akal. Aku dapat tengok quotation price dan hasil-hasil kerja mereka di kebanyakan fotopages. Kalau mahu jadi kaya cepat pun, biar kerja tu halal dan setimpal dengan hasil. Jangan cekik tengkuk pelanggan yang rata-rata tak tahu apa-apa. Faham? Jika harga Kancil, Kancil lah. Harga Subaru Imprenza, Imprenza lah jawabnya.

Aku bercakap dari sudut pemerhati. Aku pun tidak pernah atau mahu mencuba menjadi wedding photographer. Kerja komersial bukan untuk aku semestinya. Tapi kadang-kadang, untuk kawan-kawan, aku lakukan dengan free tanpa charge. Itupun banyak yang aku kurang puas hati dengan hasil. Reception orang, kenangan orang. Tak berani aku tawarkan yang tidak boleh aku berikan.

Aku tak rasa, entri kali ni pedas sangat. Just to point out a few flaws yang aku tengok dari sudut pencinta photografi. Bukan? Jadi kita semua boleh amik ikhtibar.

Selepas ini tentu susah aku nak cari wedding photog untuk reception aku…

Esok saja…

Hasil karya beck - Cerucuk di Plaza Rakyat

Hasil karya beck - Cerucuk di Plaza Rakyat

Zoomer : Tulisan penulis di atas memang menarik untuk dijadikan renungan, baik untuk peminat fotografi, bakal-bakal pengantin mahupun jurugambar perkahwinan sendiri. Di negara serba bebas ini, setiap kita bebas menyuarakan pendapat masing-masing. Pastinya ada yang positif dan ada juga yang negatif. Namun bagi saya, saya selalu cuba semampunya untuk melihat sesuatu itu dari sudut positif. Sebagai manusia biasa, ada terlalu banyak kelemahan yang kita miliki. Kalau ada yang menegur, anggaplah ia datang bersama keikhlasan dengan niat untuk memperbaiki. Kalau ada yang memuji, anggaplah ia sebagai pembakar semangat untuk kita memberikan yang lebih baik lagi. Apa pula pendapat anda?





Outdoor Photography

4 08 2008

Saya amat meminati sesi Outdoor Photography atas beberapa faktor. Antaranya ialah faktor persekitaran yang amat luas dan tiada batasannya, menyebabkan saya hampir tiada masalah untuk mencari pemandangan yang sesuai untuk dijadikan latar belakang penggambaran saya. Tidak kira samada kita berada di kawasan perkampungan, atau sawah padi, atau di tepi tasik, mahupun di ladang getah, juga di tepian pantai, atau di mana sahaja, semua itu boleh dijadikan latar penggambaran kita, namun dengan syarat kita perlu tahu mencari arah sudut yang menarik.

Faktor lain yang menyeronokkan ialah tiadanya gangguan-gangguan sampingan yang kadangkala boleh membataskan kreativiti kita. Contohnya pengantin tidak akan merasa segan dan malu kerana hanya mereka berdua sahaja yang berada di lokasi tanpa diperhatikan oleh rakan-rakan mahupun saudara mara. Juga tidak ada cadangan-cadangan dari andam mahupun makcik pengantin tentang gaya dan aksi yang mahu dilakukan, yang kadang kala overnya mengalahkan cerita hindustan (Hehe..)

Mungkin satu hari nanti saya boleh berikan sedikit panduan kepada peminat-peminat fotografi tentang teknik yang sesuai untuk mengambil gambar outdoor, termasuk gaya, latarbelakang, peralatan dan sebagainya.

Sementara itu kita nikmati gambar yang baru saya ambil semalam yang membabitkan pasangan pengantin Aliq & Aida yang berlangsung pada 3hb Ogos 2008 di Beranang, Selangor. Penggambaran dilakukan di kawasan ladang getah dan bekas kawasan sawah padi yang sudah tidak dikerjakan lagi. Namun kawasan tersebut kini telah dijalankan projek tanaman serai, yang menyebabkan ia masih kelihatan seperti kawasan sawah padi. Waktu pada masa itu lebihkurang pukul 5 petang. Matahari telah agak condong dan memberikan kesan cahaya sedikit kekuningan.

Jika anda berminat untuk tahu lebih lanjut tentang khidmat kami dan caj kami, sila lawati fotopages kami di http://zoomer.fotopages.com/





Bazuki Muhammad – Interview di Kosmo

4 08 2008

Bazuki Muhammad bukanlah nama asing bagi pencinta dunia fotografi di Malaysia ini. Nama besar beliau disanjung tinggi kerana hasilkerjanya yang amat tinggi nilainya. Jika tidak mana mungkin agensi berita antarabangsa Reuters mengambilnya sebagai jurufoto mereka sejak tahun 1998. “Saya mahu gambar saya menjadi ikon dan ia melekat di ingatan.” katanya sewaktu diinterview oleh akhbar Kosmo. Untuk anda yang meminati fotografi, artikel ini wajib anda baca untuk berkongsi bersama pengalaman beliau meneroka dunia serba indah ini. Saya sertakan di sini artikel tersebut untuk tatapan kita bersama…

Bazuki Muhammad - Jurugambar yang dikagumi

Bazuki Muhammad - Jurugambar yang dikagumi

SEPATUTNYA takdir awal merencanakan lelaki ini bakal menjadi seorang arkitek. Namun segalanya berubah disebabkan seorang teman sekampus bernama Aresh Javadi.

Petikan kamera warga Iran itu yang kerap menghasilkan seni fotografi yang luar biasa menyebabkan Bazuki Muhammad tidak mampu menahan dirinya daripada memegang sebuah kamera. Dan impaknya sangat besar.

“Saya tiada hobi lain selain mengambil gambar,” akuinya tertawa.

Sudah 25 tahun Bazuki bergelumang dengan hobi fotografinya. Beliau kini bertugas sebagai jurufoto di Malaysia untuk agensi berita antarabangsa, Reuters, sejak tahun 1998.

Boleh dikatakan semua jurufoto media di negara ini mengenali beliau. Ada juga yang menganggapnya ‘dewa foto’ kerana anak Melayu ini berada dalam kelas tersendiri.

Bagaimana lulusan arkitektur dari The Bayou State of Louisiana, Amerika Syarikat ini boleh terjerumus ke dalam seni fotografi?

“Ia mungkin darah seni yang ada pada keluarga saya,” tenang beliau menjawab.

Namun orang yang membuatkan Bazuki, kini 43, ingin menjadi jurufoto ialah pelajar kejuruteraan, Aresh Javadi.

Memiliki kamera sendiri sejak usia 17 tahun, Bazuki bagaimanapun berasa pelik kerana petikan kameranya tidak seajaib sentuhan jari Aresh. Sehinggalah Bazuki membelek kerja-kerja lelaki itu yang disiarkan dalam beberapa buah majalah.

“Suatu ketika, saya belajar di dalam kelas yang turut dihadiri Aresh. Saya memerhati kerjanya. Ya, dia membuatkan saya mahu menjadi jurufoto.

“Tapi sampai sekarang dia tak tahu saya menyukai karya-karya fotonya,” kenang Bazuki sambil ketawa besar.

Menurut Bazuki, isterinya, Zuriah Mad Ali, 40, juga mengakui kehidupan mereka sekarang lebih gembira berbanding semasa Bazuki bergelar arkitek 10 tahun lalu.

Namun, mengapa beliau meninggalkan satu kerjaya yang dihormati dan stabil itu?

“Sebab saya tak tahan mendengar bunyi klik kamera saya,” ujarnya bersahaja.

Sambung beliau: “Ya, selepas enam tahun menjadi arkitek, saya membuat keputusan yang radikal. Saya kehilangan bunyi klik kamera apabila saya mengadap papan lukisan, tapi saya tidak kehilangan papan lukisan apabila saya mendengar bunyi klik kamera.”

Sambil menikmati cendol dengan pemandangan Tasik Putrajaya yang indah, anak kelahiran Kelantan ini berkata, seni fotografi yang dicetus olehnya adalah menggunakan ‘garapan akal’ dan ‘ketajaman mata’. “Pandanglah dengan mata hati,” kata Bazuki. “Ia datang secara semula jadi.

“Saya pernah membuat liputan Hari Wesak di sebuah tokong yang mempunyai banyak lampu tergantung. Saya memerhatikan bagaimana panas terik yang menghasilkan bayang lampu-lampu tersebut. Itulah gambarnya,” cerita beliau.

Bazuki menambah: “Di laman web saya, ada yang mengatakan saya telah berjaya mencari kelainan daripada jurugambar-jurugambar lain.

“Tapi sebenarnya saya tidak mencari kelainan. Saya hanya menghasilkan karya dengan kemampuan saya, tidak sesekali ingin mengalahkan orang lain.”

Khabarnya tokong itu telah dikunjungi ramai hanya kerana gambar yang dipamerkan di laman web Bazuki sangat cantik dan mengesankan.

Di sebalik kerjayanya yang adakalanya membuatkannya terkejar-kejar ini, Bazuki mengakui beliau sangat puas.

“Saya bangun awal pagi dan tak pernah rasa penat atau malas untuk bekerja dan berfikir.

“Untuk menghasilkan sekeping gambar, saya mesti ada bayangan untuknya. Apa yang saya lakukan ialah melukisnya di atas sehelai kertas dengan melakar sebuah kotak dan isikan dengan objek.

“Kadang-kadang angan-angan itu tinggi sangat. Tapi saya cuba untuk dapatkannya. Adakalanya gambar itu terhasil di depan mata saya,” akui bapa kepada seorang anak perempuan, Intan Nur Aisyah, 12, ini.

Bekerja sebagai wartawan foto juga membolehkan beliau mengenali pelbagai watak manusia setiap hari dan itu kata Bazuki, adalah definisinya terhadap kepuasan.

Beliau juga mahu menolak tanggapan bahawa gambar yang cantik akan terhasil dengan kamera yang canggih.

“Saya menggunakan kamera Mark II sahaja. Ramai jurufoto lain yang memakai kamera yang lebih canggih. Hobi saya juga bukan mengumpul kamera.

“Yang penting adalah hasilnya. Laman web http://www.bazuki.com itulah hasil nya, bukannya kamera jenis apa yang telah menghasilkannya.”

Sememangnya Bazuki dikenali ramai. Malah bukan sedikit rakan-rakan yang menjadikan karya beliau sebagai rujukan.

Namun Bazuki ketawa saja bila diberitahu beliau telah terkenal sekarang.

“Bila dikatakan saya dikenali ramai, saya rasa gugup. Ada juga beberapa situasi yang membuatkan saya sedar saya dikenali, bila ada orang curi-curi ambil gambar saya dari jauh, dan ada yang datang bergambar bersama saya dan meminta tandatangan saya.

“Sebenarnya ia memberi cabaran kepada saya untuk terus menghasilkan sentuhan yang lebih memukau,” katanya.

Menurut lelaki ini lagi, beliau tidak menjadikan tuah nama Bazuki di sebalik pencapaiannya, namun akur itulah anugerah Tuhan untuk dirinya.

Kata-kata akhir Bazuki tentu saja menggambarkan dirinya yang sebenar. “Saya mahu gambar saya menjadi ikon, saya mahu ia melekat di ingatan.”

Hasilkerja beliau boleh dilihat di http://www.bazuki.com/





Salam Buat Dunia

4 08 2008

Pengantin Oleh Zoomer Photography

Salam perkenalan buat semua yang meminati bidang fotografi dan ingin mengambil tahu serba sedikit tentang apa yang ada di dalamnya. Blog ini saya mulakan pertamanya untuk menyediakan ruang kepada diri saya, untuk menulis apa sahaja tentang dunia yang saya minati, dunia Fotografi. Ia akan mencatitkan antaranya serba sedikit tentang ilmu fotografi yang yang kebanyakannya saya pelajari dari pengalaman untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan semua, tentang apa-apa berita menarik berkaitan fotografi, juga untuk berkongsi serba sedikit hasilkerja saya selama ini.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang dunia fotografi saya, tunggu tulisan saya yang akan datang.