Foto elemen kehidupan – Yaman Ibrahim

22 12 2010

Sumber : Kosmo

SUDAH hampir satu jam Yaman Ibrahim, 44, berdiri berhampiran sebuah gerai durian yang terletak di kaki lima berhampiran Jalan Alor di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur itu.

Tangannya yang menggenggam erat kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) jenis Nikon D3 yang disangkut pada leher dirasakan sedikit kebas, kakinya juga tidak terkecuali. Bagaimanapun, lelaki bertubuh rendah dan berbadan sasa ini, masih belum berganjak dari tempatnya.

Yaman sedar ada mata-mata liar yang memerhatikannya. Namun, dia tidak ambil pusing. Perhatiannya masih tertumpu di hadapan gerai peniaga berketurunan Cina itu.

Dia tidak mahu terlepas sebarang aksi dan gelagat pelanggan yang singgah di gerai itu, jika tidak sia-sia dia bergelumang dengan debu dan menghirup asap kenderaan yang lalu-lalang.

Jika beberapa tahun lalu, Yaman tidak bersusah-payah begitu. Selaku pengarah kanan kreatif dan multimedia di sebuah syarikat penerbitan di ibu negara, dia mempunyai unit jurugambar yang boleh diarahkan melakukan tugas itu.

Dia boleh duduk selesa di atas kerusi empuk ruang pejabatnya yang berhawa dingin, cukup bulan terima gaji. Namun, kepuasan yang hilang dalam berkreativiti akhirnya menyebabkan lelaki itu rela melepaskan keselesaan yang dikecapinya. Dia mahu mengejar impiannya menjadi seorang jurufoto.

Mencipta gambar

Lamunannya terhenti secara tiba-tiba. Dua orang pelancong asing yang melintas di hadapan gerai menarik perhatiannya. Tatkala si bapa berjalan tenang, si anak pula kelihatan seperti terseksa menikmati aroma durian yang tajam.

Yaman tersenyum puas, itulah aksi yang ditunggu-tunggu. Reaksi spontan kanak-kanak itu menutup hidung dengan bajunya, memegang perut dan mimik muka loya akhirnya tersimpan rapi dalam memori kamera Yaman.

Biarpun ia dirakamkan kira-kira dua tahun lalu, namun ia sesuatu yang besar bagi Yaman. Gambar yang menceritakan wajah-wajah di Kuala Lumpur itu telah diangkat sebagai pemenang tempat pertama pertandingan fotografi Picture KL 2008.

“Gambar yang baik tidak selalu datang kepada kita. Kita perlu mencari, melihat dan mencipta gambar, agar gambar yang dihasilkan tidak sama seperti orang lain,” katanya berfalsafah.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, biarpun berkebolehan menghasilkan karya yang mencakupi pelbagai tema, namun dia lebih selesa merakamkan fotografi berbentuk dokumentari dan jalanan.

Ujarnya, elemen kehidupan dan kemanusiaan yang sering mendasari kedua-dua tema itu cukup dekat dengan jiwanya dan menarik untuk diterjemahkan melalui lensa kamera. Merakamkan gelagat manusia di jalanan menjadi kegemaran Yaman. Kata Yaman, fotografi di jalanan lebih dekat untuk menggambarkan kehidupan sebenar rakyat Malaysia.

“Saya gemar merakam gambar-gambar yang mempunyai mesej cerita, ekspresi dan emosi kerana ia mampu menghubungkan jiwa-jiwa manusia,” jelasnya yang menetap di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.

Namun, kata Yaman, bermain dengan subjek hidup seperti manusia memerlukan seseorang jurugambar memahami pelbagai faktor bagi menonjolkan subjek tersebut.

Tambah Yaman, faktor kedudukan subjek, pencahayaan dan teknik yang betul bagaimana untuk berinteraksi dengan subjek penting bagi memastikan foto yang dirakamkan menarik dan tidak kaku.

“Ia ibarat menghasilkan lukisan di atas kanvas kerana selain memerlukan pengetahuan tentang fotografi, seseorang itu perlu kreatif dan sedikit sebanyak mempunyai jiwa seni,” katanya yang berpengalaman bekerja di dalam bidang penerbitan lebih lapan tahun. Pengalaman tersebut banyak membantunya memahami aspek dimensi dan pengimejan dengan lebih jelas.

Kebetulan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya (UM) ini berdarah seni.

“Dulu saya sering melukis mural di sekolah. Malah, ketika bergelar guru sebelum ini pun saya turut mengajar subjek pendidikan seni,” kata bapa kepada dua cahaya mata iaitu Farahanis, 19 dan Faris, 16.

Menurut Yaman, pembabitannya dalam bidang fotografi bermula kira-kira empat tahun lalu.

Dia mendekati anak-anak buahnya untuk belajar fungsi teknikal kamera DSLR. Internet dan laman-laman rangkaian perkongsian sosial seperti Flikr juga membantunya. Malah, dia juga tidak malu menyertai kelas fotografi.

“Saya berhenti kerja dua tahun lalu dan sejak itu saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi,” katanya.

Perkenalannya dengan rakan-rakan sealiran seperti Bazuki Muhammad, seorang jurugambar profesional yang terkenal di kalangan pengamal media dan peminat fotografi di negara ini banyak membantunya mendalami bidang tersebut.

Bagaimanapun, perjalanannya penuh ranjau berduri. Bidang itu bukan sahaja menuntut kesabaran yang tinggi malah pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

Pengalaman diherdik oleh sekumpulan wanita ketika Yaman asyik mengambil gambar mereka membeli-belah di sebuah pasar raya, pelanggan yang memperlekehkan karyanya sedikit pun tidak melunturkan semangatnya.

“Itu merupakan asam garam yang perlu dilalui oleh seorang jurugambar. Saya positif, tiada istilah kecewa sebaliknya hanya keinginan untuk memperbaiki diri,” kata Yaman.

Melihat karya yang tersimpan di studio miliknya, Neo Edition yang terletak di Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur jelas Yaman gemar menjadikan kanak-kanak dan warga emas sebagai subjek utamanya.

Merakamkan gambar kanak-kanak satu kepuasan kerana ekspresi dan emosi yang dipamerkan tulus dan ikhlas. Mereka tidak berpura-pura.

Terbitkan buku

“Begitu juga dengan warga emas, saya suka mendengar pengalaman hidup mereka. Sedikit sebanyak kisah itu saya cuba tonjolkan melalui lensa kamera,” ujarnya sering mendapat galakan isterinya, Rita Aziz, 30.

Sejak itu, Yaman aktif mengembara hampir ke seluruh pelosok negara bagi mendapatkan rakaman terbaik di samping meneroka kepelbagaian masyarakat serta adat dan budayanya.

Kunjungannya di sebuah kedai buku kerana mahu mencari bahan rujukan mengenai fotografi Malaysia membuatkan lelaki itu tersedar daripada lena.

Selama ini, kebanyakan bahan rujukan yang terjual dipasaran dihasilkan dari kaca mata orang luar. Lidahnya kelu melihat nama-nama Inggeris tertera pada senarai nama penulis, jurugambar dan penerbit. Rata-ratanya bukan anak tempatan.

Situasi itu menyemarakkan semangat Yaman untuk menerbitkan buku bertajuk, Malaysia The Walk of Life yang diterbitkan bulan lalu.

Buku yang mengandungi 180 keping gambar koleksi peribadi Yaman yang dikumpulkannya sejak lima tahun lalu itu dihasilkan dalam versi bahasa Inggeris.

“Saya harap buku ini mampu menceritakan perspektif budaya, adat resam dan masyarakat di negara ini dengan lebih dekat kepada pelancong asing.

“Saya berharap untuk menjelajah ke negara-negara Asia dan bercadang menerbitkan buku yang sama mengenainya,” jelasnya.

Bersempena pelancaran buku terbaru itu, Yaman turut mengadakan pameran fotografi bertajuk, Malaysia The Walk of Life yang akan diadakan bermula 29 Disember 2010 hingga 14 Januari 2011 di Map KL, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Adakah Yaman menyesal meninggalkan dunia seni bina yang boleh memberikan masa depan yang jauh lebih baik daripada menjadi seorang jurugambar?

Jawab Yaman, fotografi adalah kerjaya yang serasi dengan jiwanya dan mampu memberinya kepuasan.

“Saya sering mengingatkan diri, jika orang lain boleh buat, kenapa tidak saya,” ujarnya penuh makna.





Sabah in her lens

6 10 2010

SWEDISH photographer Maria Espeus’ black and white expressions of the dramatic Sabah rainforest are scattered throughout GTower.

GTower developer, Goldis Bhd’s executive chairman Tan Lei Cheng had chanced upon some work that Espeus did on the Philippines and commissioned her to produce a collection for the tower.

The result of two months of work is over 3,000 black and white images of mostly misty panoramas of Sabah’s forests and dramatic valleys and close-ups of the luxuriant flora, such as orchids, foliage, and the intricate tangle of root systems.

“When I arrived in Sabah, I didn’t have the slightest idea of how its reality was going to overwhelm me,” recalls Espeus (pic, left) in an e-mail interview.

“I didn’t know much about Malaysia before coming here. All the information I had gathered in preparation for the trip was nothing more than an attempt to grasp something ineffable that I sensed and which resonated inside me.”

From Kota Kinabalu, Espeus travelled to Tambunan and Tenom along with an assistant and a guide (a New Zealnder, strangely enough). The team later returned to Kota Kinabalu to continue on to the Kinabalu mountains, Poring Hot Springs, Kundasang, Sandakan, Danau Girang and finally the Danum Valley, famed for its rich biodiversity.

“I was fascinated by the variety of flora, especially the orchids,” says Espeus, explaining why many of her pictures highlight the delicate beauty of these blooms.

“My objective at first was to make an inventory of the plant life in Sabah, but that is a task beyond my scope, I realised. So I tried to sum up the spirit and the magic of that nature by using one part, perhaps a flower, a leaf or a root, to represent the whole.

A lovely study of a wild orchid

“My fascination with and amazement at my surroundings made me forget any adaptation problems,” she says when asked how she coped with the sweltering heat and humidity of Sabah’s forests.

“Photography is my way of expressing my emotions. However, I am not trying to capture anecdotes or freeze time. I don’t want to reproduce reality nor do I aspire to be objective. I am more attracted to the possibility of transmuting that reality into another subjective reality, one that is more typical of poetic language.”

Espeus began her professional career in Sweden but soon began working internationally, publishing works in prestigious titles such as The New York Times, Vogue, La Vanguardia and Time magazine. She has also directed documentaries, advertisements and films, and won a Silver Lion in Cannes 2002 for the film Origenes: Ano Internacional Gaudi.

She has photographed many fashion spreads and celebrities, among them, Lord Andrew Lloyd Webber, Placido Domingo, Ryuichi Sakamoto, Antonio Banderas, Juan Antonio Samaranch and Montserrat Caballe.





Dalami ilmu lensa

6 10 2010

Laporan dan foto NOR HUSAINI NOR MAJID (METRO)

KAMERA jenis refleksi lensa tunggal digital (DSLR) kini umpama satu aksesori atau gajet wajib buat remaja masa kini. Semakin ramai remaja dilihat bersama kamera sedemikian atau bergambar menggunakannya.

Namun tidak ramai tahu secara mendalam fungsi dan penggunaan kamera sedemikian, sebaliknya hanya menggunakannya secara asas.

Di sebalik itu, sekumpulan remaja yang meminati fotografi berusaha ke arah mendalami ilmu serta seni bidang itu.

Seorang daripada remaja berkenaan, Danial Nuruddin Azlan, 16, berkata dia meminati fotografi sejak sekolah rendah kerana tertarik dengan kebolehan jurugambar terkenal merakam detik dan pemandangan indah.

Menurutnya, dia melihat gambar yang dirakam jurugambar berkenaan sebagai hasil seni luar biasa dan memerlukan kemahiran tinggi.

Remaja yang mesra dengan panggilan Danial itu yang menjadikan alam sekitar sebagai inspirasi, turut mendapat sokongan keluarga.

Dia yang turut berkongsi hobi itu dengan adiknya, Dinna Natasya Azlan, 14, sentiasa tidak puas untuk belajar mengenai selok-belok bidang berkenaan kerana dunia seni fotografi sentiasa berkembang sama ada revolusi kamera itu sendiri mahupun kemahiran seseorang jurugambar.

“Saya sebenarnya suka melihat alam sekitar seperti pantai, hutan serta air terjun, dan dengan minat itu akhirnya tercetus pula minat dalam bidang fotografi bila saya mula menggemari aktiviti merakam gambar keindahan alam.

“Dunia fotografi dan hobi baru ini lebih membawa saya untuk bergaul dengan ramai kawan. Jika sebelum ini saya lebih banyak menghabiskan masa di depan komputer bermain permainan komputer, tetapi kini beralih kepada bidang seni sebegini,” katanya.

Danial juga menjadikan karya Michael Yamashita sebagai sumber untuk mendapat ilham dalam menghasilkan gambar menarik.

Menurutnya, dia meminati Yamashita kerana sentuhannya sangat menarik dan banyak bermain dengan unsur alam sekitar.

Dinna Natasya atau lebih mesra dengan panggilan Tasha pula meminati fotografi dan menjadikannya sebagai hobi sejak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir.

Menurutnya, minatnya semakin bercambah apabila sekolahnya mewujudkan kelab fotografi dan memberi

“Saya mengikuti kelab ini kerana ingin menambah ilmu fotografi dan juga menghasilkan gambar menarik seperti idola saya iaitu Zainal Abdul Halim, bekas jurugambar Reuters.

“Kalau boleh, saya ingin mengikuti bengkel yang dijalankan oleh Zainal kerana pengalamannya yang luas dalam bidang terbabit,” katanya.

Tasha juga bercita-cita menjadi jurugambar profesional dan mungkin bekerja dengan agensi media terkenal seperti Reuters atau National Geography.

“Sebab itu saya ingin belajar sebanyak mungkin mengenai bidang fotografi supaya satu hari nanti cita-cita saya tercapai dan mungkin menjadi jurugambar wanita pertama di Malaysia bekerja dengan agensi media dunia itu,” katanya.

Seorang lagi rakan mereka yang berkongsi minat sama, Siti Afiqah Hashim, 14, pula meminati fotografi kerana suka melihat gambar menarik di Internet selain jurugambar bekerja, terutama yang merakam detik bersejarah seperti majlis perkahwinan dan perayaan di Malaysia.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Fiqah meminati bidang fotografi potret dan jalanan kerana menurutnya fotografi jenis itu memberi impak mendalam kepada orang yang melihat gambar itu.

Selain merujuk kepada Internet, Fiqah membaca majalah serta buku berkaitan fotografi selain keluar untuk mencuba sesuatu yang di belajar bersama rakan dan ahli kelab.

“Saya selalu melayari laman web seperti Big Picture (www.boston.com/BigPicture) dan Getty Images (www.gettyimages.com) untuk melihat gambar menarik dari seluruh dunia.

“Di samping itu, saya sering bertukar-tukar pendapat dengan rakan seperti Tasha dan Danial dalam mendapatkan idea serta teknik baru fotografi,” katanya.
Ketiga-tiga mereka dan ahli kelab berkenaan kini mendapat tunjuk ajar daripada Azizan Aziz dari Strobist Master yang sering menganjurkan bengkel seni fotografi.





Zoomer di Facebook

24 09 2009

Anda, kenalan anda atau siapa sahaja boleh bersama kami di Facebook

Hubungi saya, rakan-rakan saya, atau anda boleh mencari rakan2 anda yang telah terputus hubungan sejak berpuluh tahun dulu. Sesiapa juga boleh menjadi ahli – dengan PERCUMA. Hanya klik http://www.facebook.com/noor.azam.aziz





Dari kamera ke Facebook

20 06 2009
SENYUM... dan rakamkan keceriaan anda dengan cybershot C510 dan C905.

SENYUM... dan rakamkan keceriaan anda dengan cybershot C510 dan C905.

C510 Cyber-shot akan menjadikan pengalaman telefon berkamera lebih memikat bagi pengguna seluruh dunia.

Kini lebih ramai pengguna boleh menikmati pengalaman Cyber-shot tanpa meninggalkan kualiti pada harga yang mampu dimiliki.

Sony Ericsson terus memberikan rekaan inovatif dengan bekerjasama dengan rakan terbaik dalam industri bagi memberikan pelanggan menikmati fotografi mudah alih.

C510 Cyber-shot dengan teknologi pengimejan berkualiti dan di dalam satu reka bentuk bergaya telefon mudah alih Sony Ericsson.

Selain itu bagi memudahkan pengguna, C510 Cyber-shot membolehkan mereka menghantar gambar terus ke laman web Facebook yang popular.

Penggemar Facebook boleh mengemas kini laman web masing-masing secara terus menerusi telefon.

Antara muka Facebook pada C510 Cyber-shot memaparkan kertas dinding (wall paper) yang mana pengguna boleh berhubung dengan kawan, kemaskini status serta aktiviti terkini.

Pengguna juga boleh menentukan status kemas kini bergantung kepada permintaan.

Apa yang penting pengguna juga boleh memuat turun gambar yang diambil menggunakan Cyber-shot serta merta dan berkongsi menerusi album Facebook dengan hanya satu klik.

Ciri-ciri C510 Cyber-shot

-Kamera 3.2 megapiksel dengan penutup
-Smile shutter- teknologi pintar untuk mengesan senyuman dan mengambil gambar.
-Face Detection – teknologi memfokus sehingga tiga wajah
-Auto rotation-mengubah pandangan landskap dan potret semasa menggerakkan kamera
-Snapfish -Aplikasi yang diberikan bagi membolehkan pengguna menghantar pesanan pencetakan daripada telefon ke Snapfish dan gambar akan dihantar ke rumah.
-You Tube di mana pengguna boleh memuat naik dan menghantar video dan imej terus ke laman web
-SMS coversation style di mana pengguna boleh melihat sejarah SMS

-Auto fokus untuk merakam gambar terbaik.

Model C905 Cyber-shot merupakan telefon hebat dengan perisian terkini oleh Sony Ericsson yang dilengkapi dengan kamera 8.1 megapiksel.

Rekaan yang dipertingkatkan dengan tambah nilai kepada telefon berkamera sedia ada bagi menjadikannya produk hebat.

Pengguna yang mempunyai C905 Cyber-shot boleh memuat turun aplikasi berkenaan dengan melayari http://www.sonyericsson.com.

Ciri-ciri yang dipertingkatkan pada C905 Cyber-shot

-Smile Shutter
-You Tube
-SMS/MMS conservation style

C905 Cyber-shot juga boleh didapati dengan warna Tender Rose manakala C510 Cyber-shot dengan warna Future Black dan Radiation Silver.

Sumber: Utusan





E-P1 hibrid cili padi Olympus

20 06 2009

e-p1-1

OLYMPUS berjaya menandingi pembuat kamera gergasi lain dengan memperkenalkan E-P1, kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR), dengan saiz sebesar telefon bimbit, lebih kompak, lebih ringan dan lebih mudah untuk digunakan.

Mungkin ada yang terkejut. Namun itulah hakikatnya, E-P1 dengan saiz kira-kira 120 milimeter, sarat dengan ciri-ciri DSLR yang mempunyai saiz dua kali ganda daripadanya.

Berkonsepkan kamera Olympus PEN – kamera legenda filem bingkai separuh yang diperkenalkan pada Oktober 1959 – E-P1 dilihat bakal menjadi pilihan tidak kira amatur mahu pun jurufoto profesional.

Sering mendahului rakan-rakan pengeluar dengan ciri-ciri eksentrik bagi sesebuah kamera penggunaan biasa termasuk kalis air, tahan renyuk, mampu jatuh dari ketinggian satu meter dan sebagainya, kali ini Olympus dilihat serius untuk menerajui segmen DSLR melalui kategorinya.

Tommy Nagashima (dua dari kiri) dan Tan Tick Boon (dua dari kanan) bersama dua orang model memperagakan kamera DSLR terkecil dunia E-P1 pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tommy Nagashima (dua dari kiri) dan Tan Tick Boon (dua dari kanan) bersama dua orang model memperagakan kamera DSLR terkecil dunia E-P1 pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

E-P1 yang dibangunkan menggunakan sistem Micro Four Thirds hanya mempunyai berat sekitar 335 gram tanpa lensa turut menyediakan rakaman video definasi tinggi (HD) yang tidak membataskan pengguna daripada memfokus atau mengezum berbanding rakaman video kamera pegun oleh pesaing terdekat.

Malah rakaman video HD ini juga didatangkan dengan ciri-ciri bunyi 16 bit lelurus yang tidak berkompromi dari segi kualiti bunyi rakaman.

Dengan pengecilan 42 peratus ataupun lebih ringan 500 gram berbanding kamera DSLR Olympus E-420, E-P1  dibangunkan dengan mempunyai kapasiti tinggi sensitiviti pencahayaan sehingga ISO 6400.

Mungkin ada yang bertanya mengenai kualiti rakaman imej E-P1 ekoran saiz yang kompak. Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Antarabangsa Olympus Corp., Tommy Nagashima menegaskan, kualiti merupakan aspek utama yang dititikberatkan Olympus.

“E-P1 menggunakan cip 12.3 mega piksel kelajuan tinggi sensor MOS langsung yang kini dipadankan dengan pemproses TruePic V walaupun kamera itu agak kompak.

“Jadi kualiti gambar yang dihasilkan mampu setanding dengan mana-mana kamera DSLR yang ada di pasaran selain E-P1 juga turut padankan dengan pelbagai ciri-ciri jaringan kamera DSLR sistem E kami termasuk sistem pengurangan habuk dan teknologi penstabil imej – teknologi yang diperkenalkan oleh Olympus,” katanya.

Dilancarkan serentak di bandar-bandar utama seluruh dunia Selasa lalu, E-P1 merupakan penggunaan eksklusif DSLR dalam era fotografi digital.

Menariknya, antara ciri-ciri E-P1 ialah rakaman imej pegun bersama-sama bunyi latar belakang stereo sesuai untuk penyampaian segera yang mempunyai bunyi asli terus dari kamera.

Selain itu, rakaman video HD juga boleh dihentikan dengan rakaman imej pegun dengan hanya satu butang ditekan.

Buat permulaan, E-P1 didatangkan dengan dua lensa M.Zuiko Digital, 17mm dengan bukaan apertur f2.8 (yang menyamai lensa 34mm pada kamera 35mm) dan 14-42mm f3.5-5.6 (28-8mm – kamera 35mm).

Jangan khuatir, walaupun hanya dua lensa yang diperkenal buat masa ini namun penggunaan penyesuai MMF-1, pemilik kamera DSLR kompak ini mampu menggunakan 20 lensa Four Thirds Olympus sedia ada untuk rakaman fokus auto.

Bukan hanya itu, E-P1 juga memberi kebebasan kepada pemilik untuk menggunakan lensa tradisional OM dengan penyesuai OM-2.

Tidak terbina flash dalaman bukan satu yang menyusahkan bagi bakal pemilik kamera cili padi ini kerana Olympus turut menyediakan flash kecil FL-14 yang mempunyai nombor penunjuk (GN) 20, cukup untuk rakaman dalam apa juga keadaan.

Mungkin bahasa fotografi di atas bakal membingungkan kebanyakan mereka yang mahu berjinak-jinak dengan hobi ini. Usah khuatir kerana dalam bahasa yang mudah, E-P1 merupakan kamera profesional yang mudah untuk dikendalikan oleh amatur mahupun mereka yang tidak tahu langsung mengenai kamera.

Aturan yang terbina pada kamera ini tidak terlalu sukar untuk difahami. Lebih menarik, ia juga didatangkan dengan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Melayu mudah.

Kamera ini selain mudah digunakan turut didatangkan dengan pelbagai penuras seni yang mesra pengguna.

Jika sebelum ini memerlukan seorang yang pakar dalam memanipulasi menggunakan perisian penyuntingan gambar dan akan memakan masa sehingga berjam-jam untuk menjadikan rakaman imej menjadi cantik, penuras seni terbina dalam E-P1 hanya memerlukan satu butang ditekan dan selebihnya akan dilakukan oleh kamera berkenaan.

Lebih menarik, penuras seni ini bukan hanya untuk rakaman imej pegun, ia juga boleh digunakan untuk rakaman video HD E-P1.

Ini termasuk penuras seni Pop Art yang akan menaikkan warna imej untuk lebih terang dan menarik.

Selain itu, Soft Focus (sesuai untuk digunakan suasana damai dan lembut), Pale & Light Color (mengembalikan nostalgia zaman silam), Light Tone (menaikkan warna di zon terang), Grainy Film (mewujudkan imej hitam putih yang kuat serta hebat) dan juga Pin Hole (cara rakaman zaman silam untuk meningkatkan perasaan di dimensi lain) sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Jadi dengan adanya penuras seni ini, pengguna amatur atau mereka yang tidak biasa menggunakan kamera DSLR boleh menggabungkan ciri-ciri seni bersama-sama rakaman imej.

E-P1 yang tidak mempunyai lubang telekan menyediakan paparan masa sebenar pada skrin LCD 3 inci.

Malah, E-P1 juga mempunyai ciri-ciri pengesan muka sehingga lapan muka sekali gus untuk memudahkan pengguna merakamkan imej tanpa perlu kerap mengalihkan kamera.

Uji pandu singkat yang dijalankan ketika pelancaran Selasa lalu membuktikan apa yang dicetak di dalam brosur membenarkan kata-kata.

Mudah digunakan, amat praktikal bagi semua golongan jurufoto profesional atau amatur kerana bagi jurufoto profesional, E-P1 mampu dijadikan kamera sokongan semasa melakukan tugasan. Ia mampu menghasilkan foto yang mempunyai taraf yang sama dengan DSLR konvensional mereka namun tidak memakan ruang yang banyak di dalam beg kamera mereka.

Dan bagi mereka yang amatur, ia merupakan satu kamera permulaan yang mudah digunakan tetapi memberi ruang kepada mereka untuk menimba pengalaman dengan menggunakan ciri-ciri profesional kamera tersebut.

Pengarah Urusan Olympus Malaysia Sdn. Bhd., Tan Tick Boon berkata, E-P1 akan berada di pasaran negara ini pada minggu pertama Julai depan dengan dua kit yang berbeza.

“Kami menawarkan pengguna untuk memilih sama ada menggunakan salah satu atau kedua-dua lensa yang diperkenalkan dengan harga promosi terbaik,” katanya.

Untuk itu Tick Boon berkata, kit pertama E-P1 dengan lensa 14-42mm akan dijual pada harga RM2,999 manakala kit kedua E-P1 dengan lensa 17mm, lensa 14-42mm serta penelek optikal dijual dengan harga RM3,799.

Layari laman web Olympus Malaysia di http://www.olympusimage.com.my untuk keterangan lanjut.

Sumber : Utusan Malaysia





Klik! Klik!… Mukhriz!

29 04 2009

mukhriz1

MINAT mendalam anak muda ini terhadap cabang seni fotografi, lomografi mendorong Mukhriz Abdul Latif, 28, menubuhkan komuniti yang menarik penyertaan lebih 6,000 ahli… Jom kongsi ceritanya!

MINAT personaliti XY – Ikon Lelaki minggu ini terhadap seni lomografi bukan sekadar menghabiskan masa berjam-jam mendapatkan foto terbaik. Bagi memperluaskan pengaruh seni lomografi, Mukhriz Abdul Latif mengusulkan idea membangunkan komuniti penggemar seni lomografi di Malaysia.

Bagi yang tidak pernah mendengar keunikan seni lomografi, ia suatu cabang seni fotografi menggunakan kamera biasa dan khusus. Seni lomografi berteraskan prinsip bebas dalam merakam gambar, rekaan kamera tersendiri malah tampak seperti barang mainan serta hasil foto unik.

Biarpun pada mulanya idea menubuhkan komuniti lomografi tidak diberi perhatian serius penggemar lomografi tempatan, ia tidak menghalang Mukhriz meyakinkan mereka bergerak dalam komuniti sendiri. Akhirnya, ramai akur lalu tertubuhlah komuniti Lomokids melalui laman web http://www.lomokids.com.

Komuniti ini bergerak secara rasmi pada Jun 2006.

“Sebelum kemunculan Lomokids, memang sudah ada penggemar lomografi di Malaysia. Kita dapat lihat mereka melalui hasil lomografi yang dipaparkan di laman web jaringan sosial seperti Myspace.com.

mukhriz2

“Namun, minat dan kreativiti mereka setakat itu saja kerana tidak begitu banyak ruang atau saluran bertukar pandangan mengenai seni lomografi atau melakukan aktiviti ini beramai-ramai.

“Disebabkan itu, saya fikirkan perlu sebuah komuniti ditubuhkan sebagai medan peminat lomografi berinteraksi,” katanya yang bangga menceritakan Lomokids kini memiliki lebih 6,000 ahli dengan 1,000 ahli bergiat aktif.

Terus bercerita, Mukhriz bangga populariti Lomokids meningkat. Malah, komuniti ini sering diundang menyertai acara besar. Lomokids juga menjalin hubungan baik dengan peminat lomografi di Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Kata Mukhriz, bidang lomografi di Malaysia lebih pesat berkembang berbanding negara lain di rantau ini.

mukhriz3Ditanya sejauh mana Lomografi dan Lomokids mengubah hidupnya, Mukhriz yang bertugas sepenuh masa sebagai jurugambar di Syarikat CandidSyndrome berkata:

“Pembabitan saya dalam bidang ini bukan semata-mata bertujuan meluaskan jaringan. Saya mahu mencari pengalaman dan mendedahkan diri dengan perkembangan baru seni ini melalui interaksi dengan peminat lomografi di seluruh dunia.”

Tambah Mukhriz, beliau seronok melakukan pelbagai aktiviti bersama ahli Lomokids.

“Saya gembira melakukan pelbagai aktiviti menyeronokkan bersama rakan Lomokids. Ini kerana kami mempunyai minat serupa dan tiada hierarki dalam kumpulan ini. Semua orang beri sumbangan dalam membangunkan seni lomografi di Malaysia,” katanya.

Banyak lagi kisah menarik Lomokids diceritakan Mukhriz kepada XY-Ikon Lelaki – ikuti temubual ini…

Anda meminati bidang fotografi terutama seni lomografi. Boleh huraikan perbezaan antara fotografi dan lomografi secara teknikal? Antara kedua-duanya mana lebih memberi kepuasan kepada anda?

Dalam fotografi, ada ‘peraturan’ ditetapkan dan banyak aspek teknikal perlu dipelajari. Lomografi pula lebih bebas dan berlandaskan peraturan utama iaitu don’t think, just shoot.

Hasil fotografi (digital) pula kebanyakannya dapat dibayangkan. Ini berbeza dengan lomografi di mana hasilnya tidak dapat dijangka. Namun, ia memberi kepuasan yang tinggi.

Inilah yang mendorong kita melakukan eksperimen ketika merakamkan gambar. Ini tentunya berbeza dengan fotografi digital yang lebih bergantung kepada perisian komputer untuk mencantikkan gambar yang dirakam.

Sehubungan itu, fotografi digital boleh disifatkan tidak asli berbanding hasil seni lomografi.

Apa tarikan seni lomografi hingga menjadikan anda berminat dengan seni ini?

Pada mulanya, saya tertarik dengan kesan dan keaslian gambar yang dihasilkan kamera jenis ini (kamera lomo). Hasilnya cukup unik dan tidak dapat dibuat menggunakan perisian komputer.

Lebih menarik, semua hasil gambar bermula daripada proses percubaan atau eksperimen. Setiap gambar yang dirakam adalah berbeza antara satu sama lain walaupun kedua-duanya dirakamkan di lokasi, sudut, kamera, filem dan penyelarasan (setting) yang sama.

Apa keseronokan yang diperoleh apabila bergelar seorang lomographer?

Pertama, menjadi lain daripada lain. Seperti yang dapat dilihat, kelompok atau scene lomografi masih kecil di Malaysia. Zaman ini boleh dikatakan sebagai era DSLR iaitu kamera digital.

Saya bangga menggunakan filem dan kamera biarpun ia kelihatan agak pelik dan unik. Kamera lomografi selalu menjadi perhatian mereka yang tidak mengenali atau tidak pernah melihatnya.

Selain itu, keseronokan timbul apabila gambar yang dirakamkan menghasilkan foto yang tidak dijangka. Rasa teruja kerana apabila kita merakamnya, kita tidak dapat meramalkan bagaimana gambar yang dihasilkan.

Apakah sasaran atau matlamat penubuhan Lomokids sejak tiga tahun lalu tercapai?

Ketika ini, ada beberapa sasaran yang belum tercapai. Walaupun nama Lomokids semakin dikenali serta aktif menyertai acara seni serta acara besar seperti Youth 2009 dan juga Sunburst 2009, saya fikir semua itu belum mencukupi.

Matlamat utama saya dan tiga rakan iaitu Mohd Idzwan Latif, Muhamad Reza Ramli dan Ismail Arsad yang menubuhkan Lomokids adalah untuk mengembangkan seni lomografi agar ramai menghargainya.

Selain itu, Lomokids mensasarkan membuka kedai Lomo untuk menjual barangan lomografi. Jika ini dilaksanakan, ia menjadi kedai lomografi pertama di Malaysia. Semua ini masih dalam perancangan.

Sehubungan itu, kami sedang berusaha mendapatkan kerjasama dari wakil lomografi Asia yang berpangkalan di Hong Kong.

Bagaimana anda dan penggiat aktif Lomokids memastikan komuniti ini bukan sekadar forum lomo tetapi memberi manfaat kepada mereka yang menyertainya?

Lomokids sentiasa berbincang dengan ahli mengenai aktiviti yang ingin dilakukan sepanjang tahun.

Kebanyakan perbincangan akan menjurus kepada hala tuju Lomokids dan pertemuan penggiat Lomokids di seluruh Malaysia.

Melalui perbincangan ini, hubungan antara ahli Lomokids menjadi lebih akrab malah ibarat sebuah keluarga besar.

Aktiviti bagaimana sering dianjurkan Lomokids dan tujuannya?

Lazimnya, kami akan keluar beramai-ramai dan melakukan penggambaran pada hujung minggu di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Selain itu, Lomokids setiap tahun meraikan hari penubuhan komuniti ini dengan tema khusus, Lomokids Big Day Out. Kami juga selalu meraikan hari lahir ahli Lomokids yang aktif.

Kita juga menganjurkan program outing membabitkan ramai ahli. Destinasi outing selalunya tertumpu di tempat bersejarah, pelancongan dan pelbagai destinasi menarik. Semua aktiviti ini diadakan untuk merapatkan silaturrahim antara ahli serta berkongsi idea mengenai seni ini.

Sepanjang bergiat aktif dengan lomografi dan Lomokids, apakah peristiwa atau kenangan yang tidak dapat dilupakan?

Terlalu banyak. Antara yang pahit ialah ketika awal pembabitan saya dalam bidang ini, saya sering dikutuk kerana menggunakan kamera lomo yang dikatakan gajet ketinggalan zaman.

Namun, sekarang terbukti bidang lomografi mampu membuatkan kita pergi jauh. Saya meningkatkan kemahiran menggunakan kamera lomografi dan sekarang, saya sudah pun bergelar jurugambar profesional.

Kenangan manis bagi saya ialah melihat Lomokids mencapai tahap sekarang dan sering diundang memeriahkan acara-acara besar.

Mengapa ada pihak cuma aktif dalam bidang lomografi bagi suatu tempoh singkat saja?

Ini kerana mereka tidak mempunyai minat mendalam sebaliknya hanya mengikut aliran atau kawan-kawan saja. Dalam lomografi, minat dan kesabaran tinggi perlu kerana untuk mendapatkan foto cantik, bukan semudah menekan butang kamera saja.

Apa idea yang untuk memperluaskan Lomokids?

Ada juga idea supaya lomografi dijadikan aktiviti kelab di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT). Ramai ahli Lomokids masih bergelar pelajar dan menuntut di IPT, jadi saya percaya ini mampu diperluaskan lagi.

Selain itu, kami merancang menerbitkan dokumentari mengenai Lomografi; mengadakan pameran dan juga bengkel selain mendekati media massa supaya seni lomografi dapat diperluaskan lagi.

Bio Mukhriz

Nama penuh : Mukhriz Abd Latif

Umur : 28 tahun

Asal : Johor Bahru

Tinggi : 172 sentimeter (sm)

Berat : 68 kilogram (kg)

Hobi : Lomografi, fotografi dan berbasikal

SUMBER : BERITA HARIAN